Cari @ Amanz

Isyarat radio tidak mampu bergerak jauh di dalam air. Oleh sebab itu kenderaan ROV yang ditugaskan untuk melakukan pemantauan di bawah permukaan air memerlukan kabel yang panjang untuk menghantar isyarat video kembali ke kapal induk. Pelbagai percubaan telah dilakukan untuk membolehkan video distrim secara nirwayar di dalam air dan antara yang sedang dibangunkan ialah Aqua-Fi.

Aqua-Fi ialah buah fikiran penyelidik dari King Abdullah University of Science and Technology (KAUST) yang terletak di Arab Saudi. Teknologi memerlukan dua komponen untuk membolehkan teknologi penstriman video dilakukan. Komponen pertama ialah peranti yang dimasukkan ke dalam kerangka kalis air yang memancarkan video ke sebuah komputer Raspberry Pi yang dipakai pada tangki SCUBA.

Kemudian lampu LED ataupun laser akan dipancarkan dari komputer ke sebuah piring penerima yang dipasang di bawah bot. Kerlipan lampu ini akan membawakan isyarat binari yang kemudian dicantum semula menjadi video yang ditonton di dalam bot.

Pada waktu itu Aqua-Fi berjaya diuji untuk menghantar fail di antara dua komputer yang dilekatkan di dalam tangki air. Masih terdapat pelbagai rintangan seperti jarak maksimum sekitar 20 meter sahaja dapat dilakukan pada waktu ini.

Sistem ini amat bergantung kepada garis penglihatan (line of sight) untuk berfungsi dan mengalami gangguan isyarat apabila berlaku pantulan serta biasan. Apabila ini dapat diselesaikan, Aqua-Fi bukan sahaja boleh membolehkan penstriman video secara nirwayar tetapi juga menikmati Internet ketika di dalam air.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd