Snapchat baru-baru ini mengumumkan bahawa sekitar 170 juta pengguna mereka menggunakan ciri realiti imbuhan setiap hari, dan oleh itu, mereka telah memperkenalkan beberapa ciri-ciri baru yang memudahkan pengguna dan pembangun lensa realiti imbuhan pada platform tersebut.
Ciri pertama ialah carian suara, dimana pengguna boleh menggunakan perkataan-perkataan khusus untuk menambah lensa penuras secara automatik tanpa perlu mencari lensa kegemaran mereka satu persatu.
Ciri ini dilaporkan masih berada di peringkat awal, tetapi mereka mengatakan jika ciri ini sering digunakan, pembangunannya akan menjadi lebih pesat, dan boleh digunakan untuk pelbagai tujuan lain lagi.
Ciri kedua ialah SnapML, iaitu teknologi pembelajaran mesin yang membolehkan pembangun lensa realiti imbuhan untuk mengubah rupa persekitaran dengan cara yang lebih kompleks.
Snapchat telah bekerjasama dengan syarikat-syarikat seperti Wannaby yang sedang membangunkan teknologi pemetaan kaki untuk memudahkan pengguna mencuba kasut secara maya, dan Prisma yang mampu menjadi seseorang kelihatan seperti sebuah lukisan.
Ciri Landmarkers yang diperkenalkan pada tahun lepas membolehkan pengguna untuk memuatkan model-model bangunan terkemuka seperti Eiffel Tower dan sebagainya di latar belakang.
Snapchat nampaknya akan mengembangkan ciri ini dengan menambahkan latar belakang di lokasi-lokasi lain melalui ciri yang dinamakan Local Lenses. Untuk ini, Snapchat akan mengimbas gambar-gambar lokasi yang dimuat-naik ke ruang Our Story dan membangunkan objek-objek 3D yang lebih tepat.
Snapchat telah mula mengeluarkan kemaskini untuk beberapa ciri-ciri ini, dan akan terus memperkenalkan ciri-ciri baru di masa akan datang.