Facebook sering memberikan kemaskini yang menarik dalam usaha menawarkan lebih banyak kegunaan kepada pengguna. Terkini, Facebook dilihat sedang menguji fungsi baru untuk sokongan sekuriti, di mana ia akan hadir dengan sokongan nyah-kunci berasaskan Face ID pada Facebook Messenger untuk iPhone.
Melaluinya, pengguna perlu mengimbas wajah terlebih dahulu sebelum mengakses aplikasi permesejan berkenaan. Pengguna juga boleh menetapkan jangka masa tertentu untuk aplikasi dikunci sekiranya tidak menggunakannya. Difahamkan juga, pengguna masih boleh mengakses mesej daripada panel notifikasi dan menjawab panggilan daripada aplikasi ini tanpa pengesahan fungsi keselamatan ini.
Pun begitu, fungsi ini masih diuji secara percubaan untuk sebilangan pengguna kecil dan belum diketahui, bilakah Facebook akan memperkenalkannya secara lebih meluas. Facebook dikatakan menawarkan pilihan ini sebagai sebahagian langkah untuk memastikan privasi pengguna lebih terjaga.
Selain Messenger, sebelum ini WhatsApp telah sedia menawarkan ciri yang lebih kurang sama dalam menawarkan sekuriti dan privasi tambahan kepada pengguna.