Wujud pendapat antara pekerjaan dalam ekonomi gig ialah antara yang boleh dilakukan mereka yang kehilangan kerja akibat Covid-19. Tetapi umum diketahui perkhidmatan ini masih terhad kepada bandar-bandar utama di Malaysia sahaja. Hari ini Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengumumkan kementerian beliau akan membangunkan aplikasi yang memudahkan penghantaran barangan yang menumpukan kawasan luar bandar.
Menerusi aplikasi ini, penghantaran makanan, barangan, produk pertanian, perikanan dan penternakan dapat dilakukan dari luar bandar ke bandar. Aplikasi MEDAC akan membolehkan sesiapa sahaja yang mempunyai kenderaan untuk menjadi penghantar barangan.
Bagi mereka yang tidak berkenderaan pula, Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) menawarkan pinjaman sehingga RM10,000 kepada individu yang memerlukan. Pihak MEDAC tidak melihat aplikasi mereka sebagai pesaing kepada perkhidmatan seperti LalaMove atau FoodPanda tetapi untuk mencipta ruang kerja yang baru.