Lenovo ThinkPad ialah siri komputer riba yang dikenali ramai untuk kualiti binaan yang bagus dan penggunaan komponen-komponen yang cukup berkuasa untuk pelbagai jenis tugasan produktiviti yang boleh digunakan dalam pelbagai jenis industri.
Terkini, Lenovo Malaysia baru-baru ini memperkenalkan Lenovo ThinkPad P14s dan ThinkPad P15s sebagai siri komputer riba workstation kelas permulaan yang masih cukup berkuasa untuk mereka yang bekerja sebagai jurutera ataupun jurureka profesional yang menggunakan perisian seperti AutoCAD, Revit dan SOLIDWORKS.
Seperti yang tertera pada nama model kedua-dua ThinkPad ini, ThinkPad P14s hadir dengan paparan bersaiz 14 inci, manakala ThinkPad P15s dilengkapi paparan bersaiz 15 inci dengan sokongan Dolby Vision HDR dan X-Rite Pantone. Pengguna juga mempunyai pilihan untuk mendapatkan paparan dengan resolusi setinggi 4K jika diingini.
Dikuasakan oleh pilihan CPU Intel Comet Lake sehingga Intel Core i7-10810U, pengguna juga boleh memilih untuk mendapatkan model dengan cip grafik NVIDIA GeForce Quadro dan storan SSD PCIe sebesar 2TB.
Menariknya, Lenovo juga menjanjikan jangkahayat bateri yang cukup panjang, selama 14 jam dengan satu pengecasan penuh pada siri komputer riba ini untuk mereka yang gemar bekerja di luar pejabat dan tidak mahu membawa bongkah pengecasan.
Menurut Lenovo Malaysia, ThinkPad P14s dan ThinkPad P15s ini sudah boleh dibeli melalui laman web Lenovo Malaysia dan juga beberapa kedai pengedar komputer tempatan pada harga permulaan RM4769.