Carian
Ulasan ASUS VivoBook S14 2020 – AMD Sedia Mencabar Intel Di Arena Komputer Riba Produktiviti
June 22, 2020 Nazrin

Apabila bercakap mengenai komputer riba produktiviti, satu-satunya pilihan pengguna selama berbelas, mahupun berpuluh tahun ialah Intel. Kebelakangan ini, nama AMD semakin naik kerana pilihan cip pemprosesan desktop mereka yang bukan sahaja berkuasa, tetapi hadir dengan harga mampu milik.

Terkini, mereka dilihat ingin bertempur dengan Intel untuk pasaran komputer riba dengan siri cip pemprosesan AMD Ryzen 4000 versi komputer riba yang menggunakan teknologi 5nm Zen 2 yang diperkenalkan pada tahun lepas.

Salah satu daripada jenama komputer di pasaran Malaysia yang menggunakan CPU AMD terbaru ini ialah ASUS. Mereka telah mengemaskini model ASUS VivoBook S14 yang kini hadir dengan pilihan cip pemprosesan AMD Ryzen 7 dan Ryzen 5 4000.

Di dalam ulasan ini, kami akan menguji kemampuan komputer riba yang dikuasakan AMD ini, dan jika ia berbaloi untuk wang anda.

Asus VivoBook S14
Skrin 14″ IPS Full HD (1920 x 1080)
Pemproses AMD Ryzen 7 4700U
Grafik AMD Radeon Vega 8
RAM 8 Gigabyte LPDDR3
Muatan Dalaman  512GB SSD
Kamera 720P
I/O 2 x USB 2.0 Type-A, 1. USB 3.0 Type-A, 1x USB 3.0 Type-C, 1x pembaca kad microSD
HDMI 1 x HDMI
Imbasan Tiada
Bateri 50Wh
Harga Jualan RM2899/RM3199

Anjakan Paradigma Pilihan Komputer Riba

ASUS VivoBook S14 terbaru ini bukan sahaja hadir dengan pilihan cip pemprosesan baru, tetapi juga rekaan rangka dan juga susun-atur palam I/O yang berbeza berbanding dengan model-model sebelum ini.

VivoBook S14 ini hadir dengan paparan bersaiz 14 inci dengan resolusi Full HD didalam rangka sebuah komputer riba 13 inci. Ini adalah kerana paparannya hadir dengan bingkai nipis yang menggunakan teknologi NanoEdge Display yang digunakan dalam pelbagai komputer riba ASUS lain yang juga mempunyai paparan berbingkai nipis.

Rangka keseluruhan VivoBook S14 ini juga diperbuat daripada aloi aluminium, dan untuk membezakan model AMD dan Intel, ia hadir dengan pilihan warna berbeza. Untuk siri yang dikuasakan CPU AMD, ia hadir dalam pilihan warna Dreamy White, Onyx Black dan Gaia Green.

Dari segi pilihan palam I/O pula, pengguna diberi dua palam USB 2.0 Type-A, satu palam USB 3.0 Type-A, satu palam USB 3.0 Type-C, satu palam HDMI dan juga satu pembaca kad microSD yang berguna jika anda memerlukannya.

Bagi saya, ia adalah aneh bahawa ada lagi komputer riba yang menggunakan palam USB 2.0 apabila USB 3.0 digunakan dengan jauh lebih meluas, tetapi ini mungkin untuk mengurangkan kos pembangunan peranti ini.

Sayangnya komputer riba ini juga masih perlu menggunakan palam pengecasan biasa untuk mengecas baterinya. Walaupun ia mempunyai sebuah palam USB Type-C, ia tidak mempunyai sokongan Power Delivery dan tidak boleh digunakan untuk tujuan pengecasan.

Papan kekunci VivoBook S14 ini juga hadir dengan sistem pencahayaan latar yang cukup terang jika anda jenis yang lebih gemar melakukan tugasan di dalam bilik yang gelap.

Sempadan Produktiviti Dan Riadah Kini Dikaburkan

ASUS VivoBook S14 ini dikuasakan dengan siri APU AMD Ryzen 4000U terbaru. Anda boleh memilih untuk mendapatkan model yang dikuasakan AMD Ryzen 5 4500U ataupun AMD Ryzen 7 4700U dan hadir dengan memori DDR4 sebanyak 8GB dan storan SSD PCIe sebesar 512GB.

Model yang dihantar kepada kami merupakan model AMD Ryzen 7 yang dimuatkan dengan memori DDR4 sebanyak 16GB. Untuk tujuan ulasan ini kami akan menyamakannya dengan VivoBook S14 versi Ryzen 7 yang tiba untuk pasaran tempatan.

APU AMD Ryzen 7 4700U mempunyai lapan teras dan lapan bebenang kuasa yang cukup berkuasa untuk menggerakkan pelbagai jenis perisian produktiviti harian anda, tidak kira anda membuka fail Office, Excel, perisian pengaturcaraan dan sebagainya.

Ia juga hadir dengan cip pemprosesan grafik AMD Radeon Vega 8, dan kami akan bercakap sedikit mengenai prestasinya sebentar lagi.

Jika anda seperti saya, dan sering membiarkan pelbagai perisian terbuka di latar belakang, VivoBook S14 ini boleh sahaja menggerakkan banyak perisian secara sekaligus tanpa begitu banyak masalah.

Satu isu yang mungkin akan timbul ialah jika anda membuka tab pelayar web secara banyak menggunakan Mozilla Firefox ataupun Google Chrome. Memori komputer riba ini akan dikitar semula untuk memuatkan maklumat daripada tab-tab yang lebih baru.

Walaupun begitu, tiada masalah timbul apabila menggunakan pelbagai jenis perisian secara sekaligus. Pengalaman saya menggunakan komputer riba ini, saya boleh beralih ke perisian perisian lain menggunakan singkatan papan kekunci tanpa perlu risau mengenai isu sela-masa.

AMD dahulunya terkenal dengan isu haba yang membelenggu semua jenis komputer yang menggunakan cip pemprosesannya. Dengan siri Ryzen 4000 U ini sekurang-kurangnya, saya boleh katakan bahawa ia bukan lagi satu masalah untuk mereka.

Saya menggunakan komputer riba ini untuk sekitar dua minggu untuk melayari web, menonton video di YouTube dan Netflix, menyunting gambar dan sebagainya. Sepanjang masa tersebut saya tidak pernah menghadapi isu haba yang menghalang saya daripada menjalankan tugas-tugas harian di pejabat Amanz.

Saya juga sering menggunakan VivoBook S14 ini di atas riba saya dalam keadaan rehat dan ya, ia mungkin rasa sedikit suam-suam kuku, tetapi tidak pernah sekalipun berasa panas tidak kira jenis penggunaan, mungkin kecuali untuk gaming.

Bercakap mengenai gaming, VivoBook S14 yang dikuasakan CPU AMD Ryzen 7 4700U ini juga boleh digunakan sebagai mesin riadah, bergantung kepada permainan-permainan yang digerakkan.

Saya sempat menguji permainan-permainan seperti Diablo 3, League of Legends dan Ori and The Blind Forest. Bergantung kepada resolusi dan tetapan grafik, permainan-permainan ini boleh digerakkan pada kadar sekitar 40-50FPS yang tidak terlalu mengganggu prestasi permainan.

Jika anda musykil tentang kemampuan komputer riba ini untuk menggerakkan permainan-permainan tersebut menggunakan tenaga bateri, ya ia mampu melakukannya. Akan tetapi jangkahayat bateri akan menurun dengan kadar yang mendadak dan boleh bertahan selama sejam paling lama.

Di bawah ialah salinan skrin untuk skor perisian penanda-aras PCMark 10, 3DMark Fire Strike dan juga CrystalDiskMark yang menunjukkan prestasi CPU, cip grafik dan juga storan SSD yang digunakan didalam komputer riba ini.

Secara ringkasnya, prestasi keseluruhan komputer riba ini berada di tahap yang sangat memuaskan. Perisian-perisian produktiviti boleh digunakan tanpa isu, dan jika diingini, boleh digunakan sebagai peranti riadah juga.

Menonton video dalam resolusi tinggi pada platform-platform seperti YouTube dan Netflix juga tiada masalah. Satu-satunya isu bagi saya ialah pembesar suara komputer riba ini tidak selantang yang diingini, walaupun ia dikatakan telah dibangunkan dengan kerjasama syarikat audio harman/kardon.

Storan SSD PCIe yang digunakan juga cukup pantas, dan masa pengaktifan sistem operasi Windows 10 hanyalah beberapa saat sahaja. Dalam beberapa kali saya perlu memuat-turun dan memasang kemas kini, hanya beberapa minit diperlukan sebelum saya boleh menyambung tugasan harian saya.

Untuk sebuah komputer riba produktiviti, salah satu metrik yang cukup penting ialah jangka hayat bateri. Untuk komputer riba ASUS VivoBook S14 yang dikuasakan APU AMD Ryzen 7 4700 ini, satu pengecasan penuh boleh menguasakan komputer riba ini untuk sekitar 7 jam.

Jangka hayat ini boleh saya dapati dengan malar apabila kecerahan ditetapkan pada 50 peratus dan menggunakan profil kuasa yang ditetapkan oleh ASUS.

Pada pendapat saya, jangka hayat ini adalah biasa untuk sebuah komputer riba yang memfokuskan pada produktiviti, tetapi boleh juga dikatakan cukup bagus kerana CPU lapan teras yang menjanakan prestasi komputer riba ini.

Bergantung kepada tugasan yang dilakukan, seperti gaming menggunakan bateri ataupun mengolah video, jangka hayat bateri komputer riba ini akan jatuh dengan jauh lebih mendadak.

Jika anda risau mengenai jangka hayat bateri ini, berita baik ialah pengecas VivoBook S14 ini cukup padat untuk dimuatkan dalam beg galas atau beg tangan anda.

ASUS juga mengatakan bahawa dengan pengecasan selama 45 minit sahaja, komputer riba ini, ia akan dicas sepenuh 65 peratus yang membolehkan pengguna menggunakan komputer riba ini selama beberapa jam.

Jangka hayat baterinya mungkin akan lebih lagi baik lagi jika anda mendapatkan model VivoBook S14 yang dikuasakan APU AMD Ryzen 5 4500U. Sayangnya kami tidak mempunyai model tersebut, dan hanya boleh mengagak prestasi baterinya berbanding dengan prestasi model yang diterima kami.

Adakah Berbaloi Membelinya?

ASUS VivoBook S14 yang dikuasakan APU AMD Ryzen 4000 ini sudahpun tiba di pasaran tempatan, dan sedang dijual pada harga RM2899 untuk model yang dikuasakan AMD Ryzen 5 4500U dan RM3199 untuk model AMD Ryzen 7 4700U.

Pada pendapat saya, siri komputer riba ASUS VivoBook S14 ini sangatlah berbaloi tidak kira model yang anda pilih. Tanda harga kedua-dua model ini tidak begitu jauh bezanya, tetapi yang pasti ialah anda akan memilih sebuah komputer riba produktiviti all-rounder pada harga mampu milik.

Pada pendapat saya, ASUS VivoBook S14 ini sesuai digunakan oleh pelbagai jenis pengguna, tidak kira anda seorang pelajar, pekerja pejabat yang inginkan mesin produktiviti sendiri ataupun seorang suri rumah yang ingin mempelajari resipi-resipi masakan di laman YouTube Sugu Pavithra.

Jika anda sedang memerhati pasaran untuk sebuah komputer riba produktiviti baru, anda tidak akan menyesal dengan pembelian ini.

PRO & KELEBIHAN

  • APU AMD mempunyai jumlah teras yang tinggi
  • Prestasi bagus untuk produktiviti dan riadah
  • Tidak panas apabila digunakan jangka masa yang lama
  • Rekaan kukuh
  • Bateri tahan lama
  • Pengecas kecil dan pantas
  • Harga mampu milik

KONTRA & KEKURANGAN

  • Penggunaan palam USB 2.0
  • Tiada kebolehan pengecasan USB Type-C
  • Pembesar suara yang perlahan

Komen