Google Bakal Hadir Dengan Pengganti Google Home Yang Lebih Premium

Google Bakal Hadir Dengan Pengganti Google Home Yang Lebih Premium

Diterbitkan pada Jun 16, 2020 oleh .

Google Home adalah pembesar suara pintar pertama dari Google. Ia dilancarkan pada tahun 2016, iaitu tahun yang sama Google Pixel pertama diperkenalkan. Ketika itu, penggunaan peranti berhubung masih belum meluas dan Google Assistant juga masih tidak cukup matang untuk membuat kawalan peranti berhubung. Sudah empat tahun Google Home ini dilancarkan dan sehingga hari ini masih tiada pengganti.

Ya, ada versi lain seperti Nest Mini (sebelum ini Google Home Mini), Google Home Max, Nest Hub (sebelum ini Google Home Hub) dan Nest Hub Max. Tetapi variasi yang asal tiada pengganti dan ramai inginkan Google hadir dengan pengganti. Baru-baru ini, 9to5google melaporkan yang Google Home akan ada pengganti dan ia mungkin adalah sebuah pembesar suara pintar premium. Menurut mereka, kod nama produk ini adalah Prince – yang akan mempunyai pemacu audio yang lebih besar dan sedikit timbul berbanding model lama. Ia dikatakan turut akan lebih mirip dengan Sonos One.

Google Pixel 4a akan dilancarkan pada Oktober, jadi berkemungkinan besar ia akan dilancarkan bersama-sama sekitar empat bulan lagi. Harga jualan dan rekaan masih tidak diketahui, tetapi ia mungkin akan lebih mahal dari Google Home lama dan lebih murah dari Home Max. Kualiti audio juga dikatakan mungkin berada di antara kedua-dua model lama ini. Google Home sudah lama tidak dijual lagi oleh Google. Nama Google Home yang masih dijual hanyalah Google Home Max, jadi ada kemungkinan pengganti ini akan menggunakan nama Nest agar selari dengan produk lain mereka.



Paling Popular