Cari @ Amanz

Sekolah masih belum menunjukkan petanda akan dibuka. Sejak tiga bulan kebelakangan ini kelas dilakukan secara atas-talian tetapi ramai ibu bapa merungut telefon pintar bukanlah peranti terbaik. Tablet pula secara lazimnya terlalu kecil dan masih mempunyai beberapa kekurangan. Di China, tablet NextClass.ai NX1 telah diumumkan oleh Xiaomi menerusi laman biayasama mereka dan ia direka khusus untuk pembelajaran dalam talian.

 Tablet ini dilengkapi skrin 15.6″ LCD sesentuh yang besar dan terang. Di bawahnya terdapat dua pembesar suara 3W yang menghala ke depan bagi memberikan pengalaman audio yang baik ketika di dalam kelas maya. Dua buah kamera disertakan. Satu dihalakan ke wajah pelajar manakala satu lagi menghala ke bawah untuk membolehkan guru memeriksa hasil kerja pelajar pada buku latihan.

Tablet ini mempunyai tongkat yang boleh dilaraskan untuk penggunaan sebagai skrin menegak atau tablet lukisan untuk kelas seni digital menggunakan stylus yang diberikan.

Dari segi spesifikasi ia dijana empat teras Cortex-A55 dengan memori sebesar 4GB of RAM dan storan 64GB. Tidak diketahui apakah sistem operasi yang digunakan tetapi besar kemungkinan adalah Android yang diubahsuai. Dengan setiap pembelian, pengguna akan menerima langganan perisian pendidikan atas talian selama tiga tahun. NextClass.ai NX1 dijual pada harga RMB1999 yuan (~RM1207) sebuah menerusi laman biayasama Youpin.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd