Kewujudan Asus ROG Phone 3 telah disahkan oleh Qualcomm beberapa bulan yang lalu secara tidak sengaja. Sejak dua tahun yang lalu peranti untuk permua ini telah dilancarkan ketika acara Computex yang berlangsung di Taiwan. Dengan acara dibatalkan kerana pandemik, tarikh pelancaran ROG Phone 3 masih lagi misteri. Apa yang bukan lagi misteri ialah rekaan dan spesifikasinya selepas ia tertiris menerusi laman TENAA.
Dari segi spesifikasi peranti akan dilengkapi skrin 6.59″ AMOLED FHD+, dijana cip Snapdragon 865, memori 16GB RAM, storan 512GB, kamera utama 64+13 megapixel, kamera swafoto 13 megapixel dan bateri 5800 mAh. Markah penanda aras untuk ROG Phone 3 telah tertiris menerusi aplikasi Antutu dengan markah yang lebih tinggi berbanding peranti dengan Snapdragon 865 yang lain. Besar kemungkinan Snapdragon 865 pada ROG Phone 3 ini dilewah jam bagi menawarkan lebih banyak kuasa.
Dari segi rekaan peranti masih mempunyai lampu LED pada logo ROG di bahagian belakang. Butang laras audio dan kuasa terletak pada sisi kanan seperti ROG Phone 2. Pada sisi kiri pula terdapat port pengecasan USB-C untuk aksesori dan mengecas peranti. Bergerak ke hadapan masih dapat dilihat penggunaan dua pembesar suara stereo yang menghala ke muka pengguna. Perbezaan yang dapat dilihat setakat ini ialah tiada lohong udara untuk sistem penyejukan pasif seprti ROG Phone 2 sebelum ini.
Dengan perubahan panel belakang yang tidak lagi berbonggol ini, peranti lebih mudah diletakkan pada permukaan meja. Persoalannya sekarang adalah ini bermakna aksesori tahun lalu sekali lagi tidak boleh digunakan pakai pada model baharu? Oh dan akhir sekali ialah peranti ini adalah setebal 9.85mm, 0.35 mm lebih tebal berbanding model tahun lalu sekaligus menjadikannya antara telefon pintar paling tebal di pasaran.