Sudah agak lama kami tidak melihat peranti Doogee dipasarkan di Malaysia. Tetapi syarikat pengeluar dari China ini masih wujud dan terus memasarkan peranti yang boleh dikategorikan sebagai tahan lasak. Terkini Doogee S88 Pro telah diumumkan bukan sahaja mempunyai kemampuan tahan hentakan tetapi bateri gergasi sebesar 10,000 mAh.
Ia dilengkapi skrin 6.3″ LCD FHD+, dijana cip MediaTek Helio P70, memori sebesar 6GB RAM, storan sebesar 128GB, trikamera utama 21+8+8 megapixel dan kamera swafoto 16 megapixel. Sistem kamera yang disokong ialah lensa sudut lebar, ultra sudut lebar dan potret.
Kesemua komponen ini dimasukkan ke dalam kerangka yang melepasi piawaian IP69K serta MIL STD-810G. Ia telah diuji untuk tahan hentakan dari ketinggian sehingga 2 meter, suhu sehingga 60 darjah Celsius dan direndam sehingga kedalaman 1 meter selama 24 jam.
Peranti mempunyai pengimbas cap jari pada bahagian sisi serta dua butang tambahan pada sisi kiri. Ini boleh diprogramkan untuk melancarkan aplikasi kegemaran atau butang kecemasan. Beberapa aplikasi kecemasan terbina disertakan khusus bagi mereka yang melakukan aktiviti luaran.
Menurut Doogee peranti boleh beroperasi terus menerus sehingga 200 jam, menonton video sehingga 19 jam atau menjalan permua 3D sehingga 18 jam. Selain sokongan pengecasan pantas 24W berwayar, peranti turut boleh dicas secara nirwayar dengan kuasa 10W atau mengecas peranti lain juga secara nirwayar dengan kuasa 5W.
Akhir sekali Doogee S88 Pro menggunakan Android 10 asli tanpa pelancar pihak ketiga. Pada waktu ini peranti ditawarkan pada harga $250 (~RM1070) sebuah dalam warna Army Green, Mineral Black dan Fire Orange.