Cari @ Amanz

Kini hampir kesemua syarikat pengeluar peranti pintar berlumba-lumba dalam menawarkan telefon pintar mampu milik bagi memenuhi kehendak setiap golongan pengikut mereka. Bagi Redmi sendiri, umum mengetahui bahawa jenama ini membawakan identiti yang sentiasa menawarkan telefon pintar kelas pertengahan dengan harga yang sangat berbaloi untuk spesifikasinya yang baik. Jenama ini dikenali ramai dan menurut Canalys, Redmi Note 8 dan juga Note 8 Pro telah menduduki carta 10 telefon pintar terbaik semasa suku keempat pada tahun 2019 dan siri Redmi Note ini terjual hampir 110 juta unit di seluruh dunia.

Melalui laporan yang dikeluarkan oleh Canalys ini, Redmi melihat bahawa jenama mereka mempunyai potensi untuk menambat hati orang ramai. Jadi, mereka telah meneruskan legasi siri Redmi Note dengan melancarkan Redmi Note 9 Pro. Pelancaran ini memberi pilihan kepada peminat jenama Redmi untuk mendapatkan sebuah telefon daripada kelas pertengahan yang mampu milik bersama spesifikasinya yang berkuasa.

Kita mulakan dahulu dari segi rekaan Redmi Note 9 Pro ini. Telefon pintar ini membawakan rekaan skrin sebesar 6.67 inci dengan paparan DotDisplay yang berkebolehan untuk memberikan pengalaman tontonan yang lebih mengasyikkan. Malah, binaan Corning Gorilla Glass 5 sebagai skrin pada telefon pintar ini juga memberikan ketahanan dan paparan yang baik. Malah,skrin paparannya juga menerima pengiktirafan daripada TUV Rheinland diatas ketahanan skrinnya yang baik. Redmi Note 9 Pro ini ditawarkan dengan tiga pilihan warna, iaitu Tropical Green, Glacier White, dan juga Interstellar Grey. 

Dari segi spesifikasinya pula, telefon pintar ini dikuasakan oleh cip pemprosesan Snapdragon 720G yang terkini dengan bantuan teknologi 8nm serta Adreno 618 untuk pengalaman paparan grafik yang lebih menyerlah. Menurut Redmi juga, Snapdragon 720G ini mampu untuk memberikan pengalaman grafik sehingga 14% lebih baik dan prestasi AI 115% yang lebih cekap daripada cip pemprosesan generasi sebelumnya.

Bateri Redmi Note 9 Pro ini juga dilancarkan dengan kapasiti sebesar 5020mAh yang mana ia dikatakan mampu untuk bertahan sehingga 2 hari masa penggunaan. Untuk pengecasan, ia menyokong pengecasan pantas 30W yang mampu untuk membuat pengecasan daripada 0% hingga 50% dalam hanya tempoh 30 minit sahaja. Pengecasan pantas ini tidak perlu dibeli kerana ia telah disertakan sekali bersama kotak pembelian.

Dari segi penggambaran, telefon pintar ini dilengkapi dengan empat kamera belakang, gabungan 64MP sebagai sensor utama, 8MP untuk rakaman ultra lebar, 5MP bagi rakaman telemakro, dan 2MP untuk rakaman sudut kedalaman. Manakala, kamera hadapannya hadir dengan sensor 16MP. Menurut mereka, melalui sensor 64MP dengan bukaan aperture sehingga 1/1.72 inci ini, ia mampu untuk menghasilkan rakaman yang lebih cantik, realistik dan tajam.

Selain itu, kamera Redmi Note 9 Pro yang dilengkapi dengan sensor 8MP bagi rakaman sudut ultra lebar ini hadir dengan bukaan sudut seluas 119 darjah. Oleh itu, anda kini tidak mempunyai masalah untuk merakamkan pemandangan yang lebih luas dan lebih banyak subjek boleh dimuatkan dalam satu rakaman. Anda juga tidak perlu berganjak jauh dari posisi semasa penggambaran dilakukan.

Bagi anda yang gemar mengambil rakaman makro, telefon pintar Redmi Note 9 Pro ini juga sesuai untuk anda. Hal ini adalah kerana telefon pintar ini menyokong untuk menghasilkan rakaman gambar makro yang baik. Dengan sensor makro 5MP, ia mampu untuk menghasilkan rakaman yang baik dan tidak hilang fokusnya walaupun jarak antara subjek dan kamera adalah sangat dekat. Malah, dari segi pewarnaannya, ia masih lagi mengekalkan warna yang semulajadi subjek.

Bukan itu sahaja, dari segi rakaman video, kamera telefon pintar ini berkebolehan untuk merakam video beresolusi 4K. Pada fungsi rakaman video ini juga terdapat beberapa pilihan mod dan penuras (filter) video yang membolehkan anda untuk menghasilkan rakaman seperti menggunakan kamera professional. Jadi, jika anda adalah seorang pengkarya video (vlogger) atau ingin menjadii seorang pengkarya video, Redmi Note 9 Pro adalah antara pilihan yang baik untuk anda pertimbangkan.

Terdapat pelbagai lagi fungsi rakaman yang ada pada telefon pintar ini. Antaranya adalah rakaman swafoto gerak perlahan, mod kaleidoskop, mod pengimbas dokumen, dan banyak lagi. Jadi, bagi anda yang sedang mencari sebuah telefon pintar pada harga mampu milik dengan spesifikasi yang baik, Redmi Note 9 Pro ini adalah antara model yang berbaloi untuk anda miliki. Telefon pintar ini sudahpun mula dipasarkan di Malaysia, pada harga RM1099. Jadi, bagi anda yang berminat, boleh dapatkannya melalui pengedar-pengedar rasmi atau di kedai atas talian mereka di Lazada.

Penafian: Advertorial Daripada Xiaomi Malaysia

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd