Cari @ Amanz

Samsung Galaxy Watch 3 akan dilancarkan tahun ini dan ia akan mengembalikan semula sistem bezel kawalan berputar yang tidak disertakan pada Galaxy Watch 2. Reaksi negatif dari pengguna berjaya memaksa Samsung untuk melakukan pusingan-U pada jam tangan pintar Tizen yang popular ini.

Hari ini misteri mengenai rekaan dan spesifikasi Galaxy Watch 3 telah terungkai menerusi laman Sammobile. Pertama sekali Galaxy Watch akan ditawarkan dalam dua saiz iaitu 41mm (skrin 1.2 inci) dan 45mm (skrin 1.4 inci). Kaca tahan lasak Corning Gorilla Glass DX akan digunakan pada skrin. Dua butang fizikal yang agak besar berbanding sebelum ini juga dapat dilihat pada sisi kanan.

Spesifikasi yang tertiris ialah memori sebesar 1GB RAM, storan sebesar 8GB dan menggunakan sistem operasi Tizen OS 5.5. Ia masih lagi hadir dengan pengimbas nadi dan juga ECG. Akhir sekali model 41mm dilengkapi bateri sebesar 247mAh dan model 45mm pula dilengkapi bateri sebesar 340mAh. Menerusi ura-ura yang didengari sebelum ini, Galaxy Watch 3 akan dilancarkan pada bulan Julai bersama dengan Galaxy Buds Live.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd