Cari @ Amanz

Penggodam Kini Boleh Mengintip Perbualan Melalui Lampu Mentol

Link Copied!

Penggodam berada di mana-mana sahaja dan mereka akan menggunakan pelbagai cara yang tidak beretika untuk mencuri data, sabotaj orang lain, mengintip, dan banyak lagi. Salah satu kaedah mereka gunakan di zaman moden ini adalah dengan menggunakan peranti berhubung seperti Google Home dan Chromecast atau juga menggunakan masalah kerentanan pada sesuatu perisian sebagai peluang untuk menggodam.

Terkini, Ben-Gurion University of the Negev dan Weizmann Institute of Science in IsraelĀ  telah menemui kaedah mengintip perbualan orang lain melalui lampu mentol. Lampu mentol ini pula tidak perlu pintar pun tidak mengapa dan hanya lampu mentol dungu biasa sahaja sudah memadai. Jarak intipan yang boleh dilakukan adalah sejauh 25 meter. Kaedah ini bukan sahaja boleh mengintip perbualan, malah turut boleh mengecam muzik dengan jitu sehingga aplikasi Shazam boleh mengenalpasti lagu apa yang sedang dimainkan. Kemudian lebih menarik, lampu mentol ini tidak perlu diubahsuai atau dilekatkan dengan alat intipan tambahan pun.

Kaedah ini dinamakan sebagai Lamphone. Secara asasnya, ia memulihkan audio yang ditangkap oleh melalui gelombang getaran degan menggunakan sensor elektro-optikal yang dihalakan kepada lampu mentol yang tergantung. Sensor ini perlu diletakkan pada teleskop dan kemudian menggunakan aplikasi pengecaman suara yang boleh ditranskrib kepada teks. Bukan itu sahaja, algoritma khas turut digunakan bagi mengasingkan isyarat audio dari sensor optikal tadi atau getaran yang diperoleh.

Adakah ini bermakna lampu mentol biasa atau dungu ini bahaya? Jawapannya tidak. Ini kerana kaedah Lamphone ini hanya berfungsi kepada lampu mentol yang tergantung sahaja. Jika ada langsir, penghadang atau terendak lampu – kaedah ini tidak boleh digunakan dan jika dicuba ianya akan gagal. Akhir sekali, perbualan dan muzik yang ingin diintip itu perlu dilakukan pada aras suara yang tinggi sahaja. Jika perbualan biasa atau bisikan, ia tidak akan berfungsi.


Komen ()