Cari @ Amanz

Qualcomm Memperkenalkan Robotics RB5 – Platform Robot Yang Dijana Snapdragon 865

Link Copied!

Qualcomm Snapdragon 865 adalah cip pmeprosesan peranti mercu untuk Android yang paling berkuasa sekarang. Ia mempunyai skor tanda aras mencapai 600 ribu, malah ada yang melangkaui skor tersebut. Banyak peranti mercu sudah menggunakan cip ini – kerana ia turut hadir dengan sokongan 5G dan prestasi yang sangat hebat.

Terkini, Qualcomm memperlihatkan pula Robotics RB5. Ia adalah platform untuk kegunaan robotik yang dijana dengan cip pemprosesan QRB5165, yang mana mempunyai CPU, GPU, ISP, dan DSP yang sama dengan Snapdragon 865 – cuma mempunyai ketahanan suhu yang lebih baik iaitu dari -40°C ke 105°C. Melalui penggunaan cip ini, platform robotik ini mampu mengendali tugasan yang berat, kerja-kerja pengkomputeran dahsyat, tugasan kecerdasan buatan yang lebih mendalam dan juga penglihatan pengkomputeran.

Platform robotik ini menyokong sistem operasi Ubuntu, Linux, Yocto, Robot Operating System 2.0 (ROS 2.0) dan juga AWS RoboMaker. Tambahan, ia juga sedia menyokong SDK pemprosesan saraf dari Qualcomm untuk kecerdasan buatan. Dari segi penglihatan, ia boleh disambungkan kepada sehingga 7 kamera dan turut menyokong memproses video 8K dan 4K HDR. Secara tidak langsung, robot yang menggunakan platform ini akan mempunyai mata yang jelas.

Konfigurasi platform robot ini amat luas dan ia bergantung kepada sang pencipta, apakah rekaan dan fungsi yang diinginkan. Malah, bagi yang mempunyai idea yang berbeza – Qualcomm turut menawarkan binaan khas mengikut citarasa mereka sambil membantu melihat susun atur litar elektrik. RB5 ini turut mempunyai Sistem-atas-Modul (SoM) bagi peminat perkakasan agar ia boleh diintegrasikan pada edge connector dan Qualcomm turut tawarkan kit untuk mereka yang mempunyai hobi dalam bidang ini. Kit ini mempunyai port USB, HDMI, modul Mezzanines untuk pelbagai fungsi lain termasuk 5G.


Komen ()