Cari @ Amanz

Teknologi komputer riba nampaknya akan menerima satu lagi berita baik tahun ini dari segi kemajuan pemprosesan grafik apabila CPU Intel Tiger Lake dilancarkan kelak.

Ryan Shrout, ketua strategi di Intel baru-baru ini telah menciap bahawa beliau sempat menguji sebuah komputer riba yang dikuasakan oleh CPU Tiger Lake tersebut, dan telah menggerakkan permainan Battlefield V pada resolusi Full HD dengan tetapan tinggi.

Apa yang menarik mengenai ini ialah CPU tersebut dipasang pada komputer riba jenis nipis dan ringan yang biasanya digunakan untuk tujuan produktiviti di rumah dan pejabat sahaja.

Menurut Ryan lagi, permainan tersebut digerakkan menggunakan perisian grafik yang masih belum dioptiimasi, dan prestasi permainan tersebut boleh ditingkatkan lagi apabila ia dilancarkan kelak.

Buat masa ini, spesifikasi cip grafik Xe yang dimuatkan dengan CPU Tiger Lake tidak diketahui lagi, tetapi berdasarkan prestasi yang diperlihatkan oleh Ryan Shrout, kita nampaknya boleh menggerakkan permainan-permainan AAA moden dengan laptop nipis dan ringan dari dalam masa terdekat ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd