Cari @ Amanz

Bermain permainan video jika tidak mempunyai set fon kepala pasti tidak sah. Sekurang-kurangnya, seseorang pemain permainan video ini memerlukan set sistem audio yang baik untuk pengalaman yang lebih imersif dan mengasyikkan. Untuk melengkapkan lagi pengalaman yang lebih baik, pemain perlu selarikan tetapan audio mereka dengan perisian penyama. Salah satu perisian yang wujud adalah THX Spatial Audio yang dibangunkan oleh Razer.

Perisian ini kini hadir untuk pengguna Windows 10. Ia mempunyai sokongan sistem audio menyeluruh 7.1 Surround yang boleh dilaras melalui pembesar suara virtual yang jitu. Perisian ini turut akan lebih berfungsi dengan baik jika digunakan bersama dengan set fon kepala atau set fon telinga. Perisian ini secara tidak langsung menjadikan aksesori audio pengguna menyokong audio spatial.

Melalui perisian ini, tidak kira pembesar suara mono ataupun tidak, ia boleh memproses hasil audio menjadi lebih lebar dan lontarkan dengan lebih luas. Enjin render THX mampu menghasilkan audio pada pelbagai saluran, tidak kira sistem 5.1 atau 7.1. Hasil audio akan menjadi tiga dimensi dengan mudah seakan bermain pemain berada dalam dunia permainan video.

Penyama yang terbina pada perisian ini membolehkan pengguna pilih profil yang sedia ada seperti THX Tuned Presets atau laras dengan sendiri mengikut citarasa masing-masing. Perisian ini turut dibangunkan agar menyokong pelbagai set fon kepala dan set fon telinga dan tidak terhad kepada aksesori audio Razer sahaja. Perisian ini turut akan diintegrasikan pada Windows Game Bar untuk Windows 10 yang boleh diakses secara pantas melalui Win + G.

Perisian ini bukannya percuma dan terdapat dua variasi, versi biasa adalah $19.99 (~RM85.47) dan naik taraf untuk sokongan 7.1 Surround pada harga tambahan $9.99 (~RM42.71) dan ia dijual di laman web rasmi Razer.com.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd