Nampaknya dua tiga hari ini, satu persatu maklumat tertiris mengenai pendatang baru Samsung dikongsi. Jika sebelum ini kita didedahkan mengenai Samsung Galaxy Note 20, kini giliran Samsung Galaxy Z Flip 5G pula. Peranti ini dikatakan telah muncul di laman penanda aras Geekbench.
Ia memperlihatkan peranti ini mungkin dijana dengan pemproses Snapdragon 865 (berdasarkan kod nama kona) – ia menunjukkan satu penambahbaikan berbanding pendahulunya. Penyenaraian juga menunjukkan ia mempunyai frekuensi asas 1.80GHz dan mungkin menggunakan memori sebesar 8GB RAM serta perisian Android 10. Peranti ini juga dikatakan telah melepasi laman pensijilan 3C dan bakal tiba dengan sokongan bateri berkapasiti 3,300mAh. Samsung Galaxy Z Flip sebelum ini menggunakan cip Snapdragon 855+.
Tiada maklumat lain mengenai spesifikasi peranti ditemui buat masa ini. Seperti biasa, maklumat dikongsi masih di peringkat ura-ura. Adakah ianya benar? Kita mungkin bakal mendengar pelbagai perkongsian lebih lanjut dalam masa terdekat.