Samsung Galaxy Watch Active2 dilancarkan sekitar Oktober lalu dan ia hadir dengan sejumlah sensor untuk memantau kecergasan dan kesihatan pengguna. Terkini, pemilik Samsung Galaxy Watch Active2 dikatakan boleh memeriksa tahap tekanan darah menerusi aplikasi Samsung Health Monitor.
Melaluinya, pengguna boleh memeriksa tahap tekanan darah pada bila-bila masa dan ia boleh digunakan untuk mengesan kesihatan pengguna dengan lebih menyeluruh. Untuk menggunakannya, jam pintar dan aplikasi ini perlu ditentukur dengan alat pengukur tekanan darah tradisional terlebih dahulu. Segala data terkumpul akan diselaraskan pada aplikasi untuk rujukan lebih terperinci mahupun tujuan pemeriksaan doktor.
Bagaimanapun, ia hanya tersedia untuk pengguna di Korea Selatan sahaja buat masa ini. Tidak diketahui bilakah Samsung akan menawarkannya secara meluas. Di samping itu, Samsung juga mengesahkan bahawa fungsi penjejakan ECG akan tiba pada aplikasi ini sekitar suku ketiga tahun ini.