Huawei Mate 40 Mungkin Hadir Dengan Paparan 120Hz

Huawei Mate 40 Mungkin Hadir Dengan Paparan 120Hz

Diterbitkan pada June 19, 2020 oleh .

Sekiranya anda mengikuti perkembangan terkini Huawei, anda pasti sedia maklum mengenai berita penangguhan Huawei Mate 40 dalam artikel kami sebelum ini. Namun ia bukan penghalang, untuk kita mengetahui lebih lanjut mengenai peranti ini. Sebaliknya, kita dapat lihat lebih banyak maklumat mengenainya tertiris di media sosial.

Maklumat terbaru mendedahkan peranti ini dijangka akan menawarkan kadar segar semula mencapai 120Hz. Maklumat ini diperoleh menerusi perkongsian ciapan daripada Ketua Pegawai Eksekutif Display Supply Chain Consultants (DSCC), Ross Young. Menerusi ciapan tersebut, beliau dilihat mendedahkan senarai peranti tahun 2020 yang dilengkapi dengan skrin 120Hz.

Jika diteliti dengan betul, salah satu model tersenarai adalah Huawei Mate 40. Secara tidak langsung, ia telah menarik perhatian ramai sekaligus seolah-olah memberi petanda bahawa model kali ini bakal didatangkan dengan beberapa penambahbaikan. Pun begitu, Huawei Mate 40 Pro dilihat tidak terdapat dalam senarai.

Selain Huawei Mate 40, iPhone 12 Pro dan iPhone 12 Pro Max juga turut tersenarai antara peranti yang bakal hadir dengan paparan 120Hz. Menarik bukan? Ini bermakna, kita bakal melihat lebih banyak lambakan peranti pintar dengan sokongan kadar segar semula yang tinggi hadir kali ini.



TIPS & ULASAN