Carian
ASUS ROG Zephyrus G14 Akan Tiba Di Pasaran Tempatan Bulan Depan Pada Harga RM7699
June 22, 2020 Nazrin

Apabila ia diperkenalkan buat kali pertama beberapa tahun lalu, siri komputer riba gaming ASUS Zephyrus boleh dikatakan siri komputer riba gaming berkuasa yang juga mempunyai rekaan yang serba nipis.

Siri tersebut telah melihat beberapa perubahan dalam rekaannya, dan terkini, mereka bakal membawa masuk iterasi terkini yang dinamakan ASUS ROG Zephyrus G14 yang dikuasakan CPU AMD Ryzen 9 yang cukup unik.

Komputer riba Zephyrus G14 ini hadir dengan paparan bersaiz 14 inci pada pilihan resolusi Full HD dan kadar segar semula 120Hz, ataupun resolusi WQHD (2560×1440) pada kadar segar semula 60Hz.

Model Zephyrus G14 paling berkuasa akan dikuasakan oleh CPU AMD Ryzen 9 4900HS yang eksklusif buat ASUS untuk seketika. Selain daripada itu, ia dilengkapi sebanyak 16GB memori DDR4 dan hadir dengan storan SSD PCIe sebesar 1TB.

Dari segi pemprosesan grafik, ASUS ROG Zephyrus G14 ini akan dikuasakan oleh cip grafik NVIDIA GeForce RTX 2060 Max-Q.

Gimik utama komputer riba ASUS ROG Zephyrus G14 ini ialah  ia mempunyai panel Dot Matrix di belakang paparan yang boleh digunakan untuk menunjukkan pelbagai jenis corak, bergantung kepada kehendak pengguna.

Sebelum ini kami telah melaporkan bahawa komputer riba ini telah memasuki pengkalan data SIRIM untuk ujian, dan ASUS nampaknya bersedia untuk mengumumkan ketibaannya di pasaran tidak lama lagi.

Menurut ASUS Malaysia, ASUS ROG Zephyrus G14 dengan spesifikasi berkuasa ini akan dijual pada harga RM7699. Mereka juga akan menjual model-model dengan pilihan komponen berbeza yang akan diumumkan pada 29 Jun kelak.

Komen