Ulasan iPhone SE (2020) – Membunuh Pembunuh Peranti Mercu Android

Ulasan iPhone SE (2020) – Membunuh Pembunuh Peranti Mercu Android

Diterbitkan pada June 30, 2020 oleh .

iPhone seringkali dikenali sebagai telefon pintar premium dan dijual pada harga yang tidak masuk akal. Ramai katakan yang spesifikasi-ke-harga peranti adalah tidak sesuai. Tetapi tahukah anda yang Apple tidak pentingkan RAM yang tinggi, rekaan yang mirip peranti lain, atau juga kebebasan pengguna. Apple sering memfokuskan pengalaman penggunaan yang baik dan stabil.

Tidak percaya? Anda bayangkan, iPhone 11 Pro Max yang hanya mempunyai 4GB RAM dan dipadankan dengan cip A13 mempunyai skor tanda aras menghampiri peranti Android yang mempunyai 12GB RAM dan Snapdragon 865 (Oppo Find X2 Pro). Jika benar cip pemproses pada peranti Android ini berkuasa, kenapa perlu RAM yang tinggi? Kenapa tidak gunakan sahaja 4GB RAM seperti Apple?

Saya yakin anda akan bengang dengan fakta yang saya nyatakan ini. Tetapi itulah kebenaran. Anda perlu terima kenyataan yang apa Apple hasilkan ternyata antara yang terbaik, bukan yang terhebat – tetapi cukup stabil. Sejak tahun lepas, Apple telah membuktikan yang mereka boleh menjual iPhone pada harga yang lebih murah. Siri iPhone 11 jauh lebih murah berbanding iPhone XS ketika ia dilancarkan.

Kini iPhone SE 2020 pula dilancarkan beberapa bulan lepas. Ia adalah iPhone baharu pertama paling murah yang Apple tawarkan. Dalaman iPhone 11, luaran iPhone 8, harga iPhone SE 2016 dan prestasi setanding mana-mana peranti mercu Android. Jadi dalam artikel ini, kami akan nyatakan kebaikan dan keburukan peranti ini agar anda boleh membuat keputusan sama ada ia berbaloi atau tidak untuk dimiliki.


Spesifikasi & Rekaan

Apple iPhone SE (2020)
Skrin 4.7″ 1334 x 750 pixel
LCD, Retina HD
Pemproses Apple A13 Bionic
Cip 2 X 2 .65 GHz Lightning
4 X 1.8 GHz Thunder
Cip Grafik Apple GPU 4-teras
RAM 3 Gigabyte
Muatan Dalaman 64/128/256 GB
Kamera Utama 12 Megapixel.
f/1.8, OIS
Kamera Depan 7 Megapixel f/2.2
Bateri 1821 mAh
(Pengecasan pantas 18W + Nirwayar Qi)
SIM/Telefoni Dwi SIM nano + eSIM
NFC Ya
Infra Merah Tiada
Kalis Air IP67
Sistem Imbasan Cap Jari – Touch ID
Harga Jualan Dari RM1999

iPhone SE 2020 menggunakan skrin 4.7-inci LCD Retina HD, resolusi 1334 x 750, menyokong True Tone dan gamut warna lebar P3. Selari dengan model-model iPhone lain, iPhone SE tidak lagi mempunyai sokongan 3D Touch dan ia digantikan dengan Haptic Touch. Untuk kecerahan, ia hanya menyokong maksima 65 nits sahaja. Oh ya, disebabkan ia adalah skrin LCD – tiada pengimbas cap jari terbina. Walaupun ianya adalah iPhone baru yang dilancarkan pada tahun 2020, iPhone SE ini juga tidak mempunyai sebarang sensor pengimbas wajah untuk Face ID. Sebaliknya mengembalikan butang home dengan pengimbas cap jari fizikal terbina yang digelar Touch ID.

iPhone SE ini turut meminjam rekaan iPhone 8, jadi skrin mempunyai bezel yang sangat tebal dan menjengkelkan. Ia menjadikan saiz peranti seakan besar dengan saiz skrin yang sangat kecil. Ya, ia mungkin tidak akan menjadi sebarang masalah – tetapi pada sesetengah orang ia adalah menjengkelkan. Baiknya di sini adalah, skrin ini menggunakan nisbah 16:9 – jadi ia mudah untuk digunakan dengan sebelah tangan. Selain itu, skrin kecil dengan bezel tebal ini akan mengurangkan pengalaman penggunaan skrin yang menarik. Ini kerana ia terlalu kecil dan tidak begitu puas.

Walaupun begitu, kualiti skrinnya masih baik sekali. Warnanya cantik, hitammya agak gelap, dan walaupun tiada HDR – warnanya cukup menyerlah dan butirannya agak jitu. Setatak penggunaan ringkas atau menonton video pendek, ia sudah memadai. Cuma di luar dan di bawah cahaya matahari, skrin sukar untuk dilihat dengan baik.

Otak kepada iPhone SE ini adalah cip berkuasa dari Apple, iaitu A13 Bionic dengan Neural Engine generasi ketiga. Ia adalah cip yang sama digunakan pada barisan iPhone 11. Ini bermakna, ia mempunyai kuasa yang hampir setanding dengan cip Snapdragon 865. Memori yang digunakan pada peranti ini adalah 3GB RAM dan pilihan storan dalaman 64GB sehingga 256GB berasaskan NVMe. Peranti ini turut mempunyai perlindungan kalis air dan debu IP67 yang mana tiada pada kebanyakan peranti Android baru dalam kategori harga yang sama.

Kamera iPhone SE 2020 ini adalah 12MP lensa utama di belakang, dengan bukaan lensa f/1.8, menyokong zum digital 5x dan menyokong mod potret yang kemas dan cantik. Kamera swafoto pula adalah 7MP dengan bukaan lensa f/2.2, dan turut mempunyai sokongan mod potret. Lebih banyak butiran mengenai kamera akan diterangkan dalam perenggan khusus untuk kamera sahaja.

Untuk bateri, ia menggunakan 1861mAh yang mana adalah sangat kecil dan lemah. Mengecas peranti ini adalah melalui port Lightning dan pengecas dalam kotak yang disediakan adalah 5W sahaja. Tetapi peranti ini masih menyokong pengecasan pantas 18W Power Delivery yang pengguna boleh beli secara berasingan. Kaedah pengecasan lain yang boleh digunakan pada peranti ini adalah melalui pengecasan nirwayar. Melengkapkan spesifikasi peranti ini adalah slot kad sim yang menyokong satu kad SIM bersaiz nano dan SIM kedua menyokong adalah dalam format eSIM.

Rekaan peranti ini langsung tidak unik. Saiznya sedap di tangan, tetapi kecil yang melampau tidak memberikan pengalaman penggunaan yang menarik. Di bahagian hadapan seperti yang telah dijelaskan tadi, mempunyai bezel tebal. Dahinya mempunyai kamera swafoto, earpiece dan sensor ambien dan dagu pula adalah lokasi Touch ID. Di belakang, akan jelas kelihatan satu lensa yang kecil bersebelahan dengan mikrofon dan juga LED flash. Logo Apple berada di tengah-tengah peranti selari dengan barisan iPhone 11. Sisi kanan adalah butang senyap terkenal Apple, butang aras suara dan siri kiri adalah butang kuasa. Tiada apa-apa di bahagian atas, manakala di bahagian bawah terdiamnya port lightning tadi bersama-sama dengan kekisi pembesar suara.

Prestasi & Penanda Aras

Percaya atau tidak, peranti kecil ini mempunyai prestasi yang menakjubkan. Tiada masalah memanas, tiada isu lengah masa dan semuanya berjalan dengan baik sekali. Ingat, peranti hanya mempunyai 3GB RAM. Bermain permua tiada sebarang masalah, tidak memanas dan berjalan dengan lancar sekali. Ujian permua yang diuji adalah PUBG dan CODM, kami menghayati setiap sesi bermain. Prestasi peranti ini bukan sahaja kuat pada permua, tetapi untuk kerja-kerja harian juga adalah cukup hebat dan menarik. Peralihan animasi yang baik, tiada masalah membuka, menutup dan menukar antara juga berjalan dengan lancar dan pantas.

Ya, ia tidak ada sokongan multi-tugasan. Tetapi dengan animasi yang pantas dan saiz peranti yang kecil ia memudahkan tugasan harian. Misalnya bertukar antara WhatsApp dan Safari.

Pengguna iPhone SE 2020 dapat menikmati tatalan skrin yang lancar, tiada sela masa, melancarkan aplikasi dengan amat pantas dan menikmati permua terkini pada tetapan paling tinggi. Kuasa memproses memang dimenangi oleh iPhone sejak dari tahun lepas lagi. Masalah RAM yang kecil ini adalah dari segi aplikasi yang berjalan di latar. Umum sedia maklum yang iPhone tidak perlu membuang aplikasi yang telah dibuka dan ia tetap akan berfungsi dengan baik. Tetapi disebabkan RAM, yang kecil, aplikasi yang tekah dibuka perlu memuat semula dan ini kadangkala akan mengganggu kerja dan amat menjengkelkan.

Untuk penanda aras, ia tidak sehebat iPhone 11. Skor tanda aras juga rendah dan dalam ujian kami AnTuTu hanya memperoleh skor dalam lingkungan 300K sahaja manakala dalam senarai carta AnTuTu ia merekodkan skor yang boleh mencapai sehingga 400K. Untuk ujian kami skor AnTuTu adalah 364423. Tetapi skor Geekbench 5 kekal tinggi iaitu 1327 untuk multi teras dan 2508 untuk satu teras.

Antaramuka

iOS tetap iOS. Itu sahajalah rupanya. Tahun demi tahun, perubahan yang ketara hanya adalah pada rekaan ikon dan susun atur sahaja. Untuk antaramuka, pujian tinggi diberikan kepada Android kerana kemampuan kustomasi yang luas dan banyak pelancar boleh digunakan. Untuk iPhone, apa yang anda beli itulah yang anda terima. Disebabkan ini adalah iPhone SE yang mempunyai Touch ID dan bezel tebal – akses ke Control Center adalahs edikit berbeza dengan iPhone X ke atas. iPhone SE perlu ditatal dari bawah ke atas berbanding iPhone X ke atas yang tatal dari atas ke bawah.

Fungsi dan ciri dalam iOS dilihat seakan kekal sama sejak iOS 12. Cuma dengan beberapa penambahbaikan. iOS 13 yang dijalankan pada iPhone SE ini mempunyai hampir kesemua ciri dan fungsi iOS 13 yang ada pada iPhone 11 ke atas. Ini bermakna tidak kira iPhone yang murah atau yang mahal anda miliki, banyak fungsi dan ciri yang sama dikekalkan.

Dalam tetapan ia tersusun, kecuali pada aplikasi yang terus panjang lebar ke bawah mengikut abjad. Semuanya mudah diakses dan dicari, jika ada masalah gunakan sahaja bar carian. Control Center pula kekal sama, susun atur yang dikenali ramai, terdapat beberapa ikon yang boleh ditambah untuk akses pantas dan kekal tidak boleh terus ke tetapan jika tekan satu fungsi beberapa saat. AirDrop, juga masih ada dalam peranti ini.

Sistem sunting gambar dan video yang lebih berkuasa juga diperkenalkan sejak iOS 13. Jadi, tidak perlu lagi memuat turun aplikasi pihak ketiga seperti Pixlr, Photoshop Express untuk kerja-kerja penyuntingan. iOS 13 juga mula menawarkan fungsi yang selama ini hanya ditemui pada Android seperti bluetooth dan WiFi yang boleh diakses lebih mudah menerusi Action Center. Tekan ikon Bluetooth dan WiFi untuk memilih peranti yang ingin ditambat dan rangkaian WiFi yang terbaik. Resolusi rakaman video serta tetapan bingkai juga boleh dilakukan terus dari aplikasi kamera. Sebelum ini kesemua ini hanya boleh dilakukan dengan menekan ikon Settings terlebih dahulu.

Adakah iOS 13 sistem operasi peranti pintar terbaik pernah dihasilkan? Pada awalnya tidak, kerana iOS 13 adalah antara iOS yang paling banyak masalah. Bayangkan dalam jangka masa yang pendek sudah banyak kemaskini diberikan. Itu adalah satu perkara yang menjengkelkan. Sebagai pengguna kedua-dua sistem operasi Android dan iOS, Android sehingga hari ini masih lebih ruang kebebasan. Selagi peranti ini tidak menerima kemaskini iOS 14, selagi itu iOS 13 ini akan rasa bosan dan hambar. Kami ada menguji iOS 14 untuk seketika, tetapi disebabkan banyak pepijat – kami terpaksa pulang kembali ke iOS 13. Dalam iOS 14 akan datang akan ada pilihan kustomasi yang menarik. Lain-lain setakat ini sama sahaja.

Kamera

Ini adalah bahagian yang pasti membuatkan orang ramai teruja. Kemampuan kamera pada iPhone adalah yang paling ramai gemar. Ia adalah satu-satunya peranti yang menjanjikan kualiti gambar dan video yang hebat apabila diterbit di laman media sosial. Ya ada beberapa peranti Android yang mampu, tetapi ia tidak konsisten dan sehebat iPhone. Bukan itu sahaja, adalah iPhone SE ini pesaing kepada peranti seperti Pixel 3a? Ataupun Pixel 3?

Apple semakin lama semakin bijak dalam menghasilkan sistem kecerdasan buatan pada kamera, dengan mengikut jejak langkah Google menggunakan teknik pasca-proses yang mendalam. Sebelum itu, masri kita lihat antaramuka kamera iPhone SE 2020 terlebih dahulu;

Menggunakan sistem satu lensa yang sudah lapuk, iaitu 12 Megapixel f/1.8. Tiada sokongan zum optikal, tiada sokongan sudut ultra lebar, sebaliknya sistem zum digital sehingga 5X sahaja diberikan. Tetapi ia mempunyai mod potret yang hebat dengan kemampuan Depth Control, pelbagai mod bokeh boleh dipilih seperti Natural, Studio, Contour, Stage, Stage Mono, High-Key Mono dan turut mempunyai sokongan OIS, sistem LED flash True Tone flash dengan Slow Sync, kemampuan panorama sehingga 63MP, dan banyak lagi. Tetapi fungsi mengawal kamera secara manual masih belum diberikan sehingga kini. Kawalan secara manual boleh digunakan menerusi aplikasi pihak ketiga yang perlu dibeli berasingan.

Akhir sekali ingin kami nyatakan iPhone SE 2020 menyokong rakaman video pada tetapan tertinggi 4K 60FPS dan gerak perlahan 240FPS pada resolusi 1080P. Kamera hadapan pula hanya mampu merakam video pada tetapan FHD 30FPS sahaja.

Kualiti Gambar & Video

Dalam ulasan iPhone 11, kami mengatakan kemampuan kamera peranti ini sudah menjadi baik dalam kemaskini terkini pada ketika itu. Lagi-lagi dengan kemampuan Deep Fusion mereka yang sedia terbina. Warna pada imej lebih hidup, keperincian pada objek seperti rambut dan kulit kini amat teliti. Tetapi berbeza untuk iPhone SE 2020, kerana kualiti gambarnya tidak sehebat mana. Ia mungkin mencukupi bagi sesetengah individu, tetapi untuk pengguna pro atau serius dalam fotografi peranti mudah alih – kamera iPhone SE bukan untuk anda.

Lihat sampel imej kacak di bawah, warna kulit kelihatan natural. Ia cukup baik, warna yang tajam, butiran yang jitu – tetapi ia tidak memelihara butiran pada keliling subjek dengan konsisten. Kekaburan kesan bokeh tidak kemas dan kadangkala kemas. Tetapi sampel swafoto yang biasa, ia dilihat sedikit lebih baik. Kesan bokeh pada latar dilihat cantik sahaja, cuma ia tidak kemas dan memuaskan.

Satu lagi kekurangan terletak pada kemampuan zum. Zum digital sehingga 5X memberikan imej yang pecah. Ini adalah kekurangan yang terdapat pada peranti ini. Jika ada lensa zum, ia pasti sudah boleh menjadi pembunuh peranti mercu. Zum digital pada satu lensa tidak akan dapat menandingi mana-mana kemampuan zum optikal.

Disebabkan peranti ini tiada mod sudut ultra lebar, jadi tiada sampel yang boleh diberikan. Tetapi kami gantikan dengan sampel-sampel subjek rawak yang kami tangkap. Lihat, sains warna yang digunakan adalah berbeza dengan kebanyakan peranti pesaing. Warna tidak konsisten, tetapi butiran dipelihara.

Paling mengecewakan adalah mod malam yang tidak disertakan pada peranti ini. Sedangkan banyak peranti pesaing dalam kategori harga yang sama sudah mempunyai fungsi ini secara terbina. juga tidak boleh diaktifkan secara manual oleh pengguna. Ini menjadikan kualiti gambar pada waktu malam atau suasana gelap mengecewakan.

Rakaman video walau bagaimanapun memberikan kualiti yang memuaskan. Mikrofon menangkap audio dengan baik, warna juga tajam dengan butiran yang hebat. Percaya atau tidak ada beberapa video di saluran YouTube kami menggunakan kamera iPhone SE sahaja untuk merakam.

Audio

iPhone 7 adalah iPhone pertama yang menggunakan sistem audio stereo melalu teknologi spatial. Fungsi ini diteruskan pada iPhone SE 2020 dengan kemampuan memainkan audio pada tahap maksima yang baik. Walaupun tidak cukup kuat, ia masih memuaskan. Kualiti audio juga baik, tidak bingit, tidak pecah dan semuanya akan menggembirakan hati pengguna.

Kekurangan pada peranti ini sudah tentu tiada port bicu audio, jadi hanya penggunaan aksesori audio nirwayar sahaja. Misalnya AirPods Pro, AirPods 2, PowerBeats atau mana-mana TWS lain.

Untuk panggilan suara pada peranti ini, ia boleh didengari dengan jelas sekali tanpa sebarang isu. Suara akan jelas kedengaran tanpa masalah hingar yang serius.

Bateri

Apa yang anda harapkan jika miliki peranti bersaiz kecil ini?  Bateri yang besar? Jangan harap. Simpan mimpi itu. Bateri kurang dari 2000mAh ini amat menyusahkan hidup kami. Satu hari penggunaan, memerlukan sekurang-kurangnya dua kali pengecasan. Ya, boleh cuba jimat – pagi 100% tetapi pada maghrib pasti sudah 10%. Hanya jika anda tidak gunakan peranti ini ia mungkin boleh bertahan dalam 2 hari.

Masa skrin aktif (SOT) pada iOS perlu dikira secara manual dari masa ia penuh sehingga bateri mula lemah. Awal penggunaan, kitaran bateri masih dalam proses belajar cara penggunaan. Jadi 6 jam SOT tiada masalah. Tetapi selepas banyak aplikasi dimasukkan, banyak aplikasi dibuka dan banyak hari penggunaan – SOT akan tahan sekitar 3-4 jam sahaja. Jujur kami katakan ini adalah hebat. Kenapa?

Kami bandingkan dengan Pixel 4 yang mempunyai bateri lebih besar – SOTnya juga adalah sekitar 3 jam SOT. Jadi, untuk iPhone SE ini sebenarnya tiada masalah kalai untuk penggunaan ringan dan bersahaja. Pengecasan yang digunakan pula dalam ujian kami adalah Power Delivery, kerana kami inginkan proses pengecasan yang pantas. Walaupun begitu, bateri 1861mAh ini masih mengambil masa menghampiri 2 jam.

Pesaing

Peranti Pesaing
Poco F2 Pro Apple iPhone SE 2020
6.67″ SAMOLED, FHD+, HDR10+, 60Hz (395 PPI) 4.7″ IPS LCD, Retina (326 PPI), 60Hz
Snapdragon 865
1 X 2.84 GHz Kryo 585
3 X 2.42 GHz Kryo 585
1 X 1.80 GHz Kryo 585
Apple 13 Bionic
2 X 2.65 GHz Lightning
4 X 1.8 GHz Thunder
Adreno 650 Apple GPU
6/8 Gigabyte 3 Gigabyte
128/256 GB UFS 3.1 64/128/256 Gigabyte nVMe
Kamera Utama 64+13+5+2 Megapixel (f/1.9+f/2..4+f/2.2+f/2.4) Kamera Utama 12 Megapixel (f/1.8), OIS
Kamera Hadapan 20-Megapixel f/2.2 Kamera Hadapan 7-Megapixel f/2.2
Tiada Kemampuan Kalis Air IP67
Bicu audio 3.5mm Tiada bicu audio 3,5mm
Pemancar infra merah Tiada pemancar infra merah
4700 mAh (Berwayar 30W) 1821 mAh (Berwayar 18W)
Bermula RM 2199
Bermula RM1999

Kesimpulan

Menamatkan ulasan iPhone SE ini adalah dengan memberitahu anda, untuk siapakah peranti ini dan adakah ianya berbaloi untuk dimiliki? Jawapannya mudah, iPhone SE adalah sebuah peranti iOS yang sesuai dijadikan sebagai hadiah untuk orang-orang tua yang ingin memudahkan perbualan melalui Face Time atau iMessage. Ia juga adalah peranti iPhone baru yang paling murah dan paling berkuasa dan sesuai untuk pengguna Android mencuba ekosistem ini tanpa mengorbankan wang melebihi RM3000. Jika anda ingin mencuba sistem iOS, memakai Apple Watch dan ingin memiliki Apple AirPods – iPhone SE ini adalah peranti yang sesuai sebagai peranti kedua jika Android adalah peranti utama.

Ia juga amat berbaloi untuk dimiliki. Harga serendah RM1999 sahaja, anda memiliki peranti yang amat berkuasa, kamera yang cukup hebat, saiz yang ramai gemari, dan padat dengan ciri dan fungsi tambahan. Mana anda boleh cari peranti Android yang berharga RM1999 mempunyai kalis air IP67, pengecasan nirwayar dan kemaskini 5 tahun? Tiada! Jadi ini adalah jalan penyelesaiannya.

Saya juga sebelum ini adalah pengguna Android, apabila beralih ke iOS saya sedar kenapa iOS ini seronok untuk digunakan. Tidak bermakna saya benci Android, kerana Android masih lagi peranti harian saya. Saya gunakan iPhone SE ini kerana ingin menggunakan Apple Watch dan mencubai Apple TV+, iOS 14, dan keseronokan konsep “ia sudah berfungsi dengan cukup, tidak perlu sebarang penambahbaikan”.

KELEBIHAN KEKURANGAN
  • Telefon pintar dengan pemproses paling berkuasa di pasaran sekarang.
  • Kemasan premium amat selesa di dalam genggaman tangan.
  • Melancarkan aplikasi dengan amat pantas.
  • Sokongan kemas kini perisian terbaik dalam industri. Kerentanan dan pepijat dibaiki dengan amat pantas.
  • Prestasi permua tetapan tinggi yang memuaskan.
  • Kamera yang cantik untuk penggunaan bersahaja dan media sosial.
  • Harga mampu milik untuk peranti berkuasa.
  • Skrin LCD yang tidak cukup cerah dan sukar untuk dilihat.
  • Aplikasi yang berjalan di latar perlu memuat semula selepas beberapa minit
  • Pengecas pantas tidak diberikan dengan pembelian.
  • Tiada kemampuan zum yang baik, makro, sudut ultra lebar dan mod malam.
  • Bezel sangat tebal yang menyakitkan mata.
  • Bateri sangat kecil dan lemah.


TIPS & ULASAN