Carian
Apple Mengumumkan Peralihan Ke Cip Tersendiri Menggantikan Intel Yang Akan Mengambil Tempoh Sehingga 2 Tahun
June 23, 2020 Aman

Apple hari ini membuat sejarah tersendiri, dan telah mengumumkan mereka akan beralih kepada penggunaan cip pemprosesan tersendiri mereka, menggantikan penggunaan cip Intel pada hari ini.

Dinamakan sebagai Apple Silicon, Apple menyasarkan peralihan ini akan mengambil tempoh masa sehingga 2 tahun.

Apple Silicon

Apple Silicon akan hadir berasaskan kepada ARM, dan menggunakan penjenamaan “A” seperti cip pada peranti mudah-alih mereka. Untuk versi pembangunan, cip yang dinamakan sebagai A12Z Bionic dimuatkan dalam Mac Mini – sekaligus membolehkan para pembangun menguji dan mengoptimasikan penawaran aplikasi mereka kepada sistem baru ini.

Big Sur

Apple menyasarkan untuk memperkenalkan Mac pertama mereka berasaskan Apple Silicon ini menjelang penghujung tahun ini. Seperti biasa, Mac sedia ada berasaskan cip Intel akan disokong untuk tahun-tahun akan datang, walaupun peralihan ini berlaku.

Daripada demo yang diperlihatkan, Apple mempertontonkan sejumlah aplikasi mereka yang hadir terbina telah pun dioptimasikan untuk cip Apple Silicon ini, selain sokongan daripada pembangun lain seperti Adobe.

Peralihan ini juga akan memudahkan pembangunan aplikasi, memandangkan ia menggunakan pengaturcaraan yang lebih selari, sekaligus menjadikan penawaran aplikasi dan perisian lebih mudah antara peranti berbeza.

Seperti biasa, sama-sama kita nantikan pengenalan Mac pertama untuk pengguna berasaskan cip pemprosesan siri-A daripada Apple ini.

Komen