Kami yakin ramai di kalangan pembaca memiliki aksesori audio bluetooth. Kami juga yakin proses menukar tambatan bluetooth dari peranti ke peranti adalah sedikit leceh kerana perlu dilakukan secara manual. Ini kami alami sendiri ketika mendengar audio dari telefon dan kemudian ingin menambatnya ke komputer di pejabat. Bagi pemilik AirPods, proses ini akan akhirnya berlaku secara automatik.
AirPods dan AirPods Pro akan dapat bertukar dari tambatan ke iPhone ke iPad Pro misalnya sejurus selepas tablet ini diangkat. Ia kemudian boleh ditambat secara automatik ke MacBook apabila anda melakukan panggilan Zoom misanya. Sekiranya anda kemudian menerima panggilan telefon, AirPods kemudian akan ditambat secara semula ke iPhone secara automatik tanpa pengguna memberikan sebarang arahan. Selain kesemua AirPods, sokongan pertukaran tambatan akan turut diberikan kepada Powerbeats, Powerbeats Pro, dan Beats Solo Pro.
Pada AirPods pula sokongan audio spatial kelak akan diberikan. Walaupun sekadar dilengkapi dua fon telinga, audio menyeluruh yang mengelilingi pemakai dapat dinikmati. Audio yang dikod menggunakan saluran 5.1, 7.1 dan Dolby Atmos akan disokong pada AirPods Pro. Kesemua ciri-ciri baharu ini akan diberikan serentak dengan kemaskini iOS 14 pada musim luruh kelak.