Semalam telah berlangsungnya acara WWDC (Worldwide Developer Conference) 2020 di mana Apple membawakan sejumlah format serba baru yang meliputi kandungan untuk para pengguna, pembangun dan sebagainya. Melaluinya juga, Apple telah memperkenalkan beberapa penawaran baru yang hadir pada sistem operasi iOS 14. Nyata pengenalan fungsi-fungsi baharu ini telah menarik perhatian ramai sehinggakan ia menjadi bualan hangat ketika ini.
Ramai berpendapat, sejumlah ciri terbaru yang diperkenalkan tersebut sebenarnya telah lama wujud di dalam sistem operasi Android. Adakah ianya benar seperti yang digembar-gemburkan? Atau berlaku secara tidak sengaja? Sebenarnya dalam artikel kali ini, penulis tidak berniat untuk mencurah minyak ke dalam api, tetapi apa kata kita cuba lihat satu persatu mengenainya untuk mencari di mana persamaan di antaranya.
1.Mod Picture-in-Picture
Fungsi gambar dalam gambar atau Picture-in-picture (PIP) adalah ciri baru yang disediakan oleh Apple ke dalam versi iOS 14. Melaluinya, pengguna boleh membuka dua aplikasi sekaligus. Sebagai contoh, anda boleh menonton video dan menggunakan aplikasi lain pada waktu yang sama – di mana video tersebut berubah menjadi kecil dan anda boleh meleretnya ke mana-mana sudut mengikut keselesaan.
Penulis tidak berniat untuk memberi sebarang komen lebih. Tetapi, kalau anda pengguna Android, anda pasti sudah terbiasa dengan fungsi ini. Fungsi ini telah diperkenalkan secara terbina sejak Android Oreo yang dilancarkan hampir tiga tahun yang lalu.
Tetapi mungkin ramai tidak mengingati ia kali pertama muncul pada Samsung Galaxy Note 2 dengan nama Pop Up Play. Pada waktu tersebut sokongan PIP hanya terhad kepada aplikasi pemain video Samsung sahaja. Ia mengambil masa lapan tahun untuk iOS meminjam ciri yang telah wujud pada TouchWiz berasaskan Android 4.1.1 Jelly Bean!
2.App Library
Seterusnya, Apple menambah fungsi App Library – yang mana ia dilihat sebagai jawapan pihak mereka untuk talam aplikasi yang ada pada peranti Android. Jika diperhati, ia dilihat menggunakan idea asas yang sama dengan talam aplikasi pada peranti Android tetapi diperkembangkan. Melalui fungsi ini, aplikasi akan dikumpulkan secara automatik mengikut kategori dalam satu folder khas. Folder khas untuk aplikasi yang baru dimuat turun, yang kerap digunakan, media sosial, penstriman dan banyak lagi.
Hmm, nampak sama tapi mungkin kebetulan sahaja. kan? Daripada hasil tinjauan juga, kami mendapati ciri ini mirip seperti yang disokong pada talam aplikasi Poco Launcher pada Poco F1 berasaskan Android 8.1 Oreo dua tahun yang lalu. Ciri yang sama turut boleh ditemui pada pelancar Lawnchair tetapi perlu dilakukan secara manual.
3.App Clips
Apple turut memperkenalkan ciri baru dinamakan App Clips. Melaluinya, pengguna dapat menggunakan aplikasi mini dengan pantas tanpa pemasangan aplikasi penuh. App Clips diaktifkan menerusi imbasan kod QR atau sentuhan NFC sahaja. Demo yang diperlihatkan menunjukkan App Clips digunakan untuk menyewa skuter elektrik dengan pantas tanpa pengguna perlu memasang aplikasi terlebih dahulu. Ciri App Clips adalah sama seperti Instant Apps yang diperkenalkan oleh Google pada tahun 2016 tetapi implementasinya masih belum dapat dilihat secara meluas sehingga hari ini.
4.Widget Pada Skrin Utama
Kali ini, Apple juga dilihat membawa perubahan besar untuk skrin utamanya menerusi pengenalan fungsi widget dengan penampilan baru. Sebelum ini widget yang disokong sejak iOS 8 pada iPhone dan iPad hanya dipaparkan pada Notification Center. Kini pengguna bebas meletakkan widget di mana-mana skrin yang diingini. Akhirnya pada tahun 2020, iOS mengikuti sistem widget yang telah disokong sejak Android 1.0 lagi.
Apple telah memperkenalkan sebuah widget baru yang disebut sebagai Smart Stack – sebuah widget yang akan berubah secara automatik mengikut waktu, lokasi dan aktiviti kebiasaan anda. Ini juga satu lagi ciri widget yang dipinjam dari yang disokong pada Samsung TouchWiz dan HTC Sense. Seperti yang kami terangkan di dalam video sebab kegagalan HTC beberapa minggu yang lalu, HTC banyak memperkenalkan inovasi yang terlalu ke hadapan tetapi tidak mendapat sambutan.
5.Wind Down Mode
Apple juga membuat peningkatan utama pada iOS 14 dengan memperkenalkan fungsi Wind Down Mode yang direka khas untuk memastikan pengguna mendapatkan tidur yang cukup. Melaluinya, pengguna boleh menetapkan waktu tidur dan bangun mengikut masa yang diinginkan dan peranti akan mengaktifkan mod ‘Do not disturb’ secara automatik. Ia akan kembali ke mod normal pada waktu pagi ketika pengguna bangun daripada tidur. Difahamkan, terdapat juga pilihan akses pintas untuk meditasi dan bermain muzik yang santai pada fungsi ini.
Perhatikan betul-betul, fungsi ini kelihatan sama dengan fungsi Bedtime Mode menerusi tetapan Digital Wellbeing pada peranti Android sejak 2018. Yang menarik di sini ialah sebelum menggunakan nama Bedtime Mode, ia menggunakan nama Wind Down, Dengan kata lain bukan sahaja ciri tetapi namanya juga dipinjam Apple dari Android, Fungsi yang disertakan Bedtime Mode juga lebih pelbagai seperti kemampuan menukar skrin ke monokrom bagi memaksa lagi anda untuk tidur.
6.Translate App
Seterusnya ialah aplikasi terjemahan tersendiri dipanggil Translate App. Melaluinya, pengguna boleh membuat terjemahan bahasa melalui percakapan dengan mudah. Ia boleh mendengar perbualan dan terus memberikan alih bahasa secara bertulis atau sebaliknya. Ia sama seperti fungsi yang ditawarkan pada Google Translate.
Tetapi Android dilihat lebih setapak ke hadapan kerana telah menawarkan 108 bahasa. berbanding 11 bahasa sahaja di Translate App buat masa ini. Google Translate sudah wujud sejak 2006 dengan aplikasi telefon pintarnya dilancarkan pula pada tahun 2o11. Jelas Google mempunyai kelebihan 14 tahun dan pengguna iOS perlu berharap Apple akan memperluaskan lagi penawarannya ke sejumlah bahasa yang lain pada masa akan datang.
7.Notifikasi Panggilan Telefon Lebih Kecil
Apple juga telah mengemaskini untuk paparan notifikasi panggilan masuk dengan saiz yang lebih kecil pada bahagian atas skrin. JSebelum ini, pengguna iPhone akan berhadapan dengan paparan penuh skrin, sekaligus mengganggu pengalaman penggunaan ketika melayari web dan paling menimbulkan kemarahan ketika sesi permua atas talian. Terdapat beberapa insiden kami “ditendang” keluar dari COD Mobile kerana menerima panggilan telefon. Paparan notifikasi yang bersaiz kecil ini telah disokong pada Android sejak 2014 menerusi Android 5 Lollipop yang diberi nama Heads Up Notification.
8. Antaramuka Siri Lebih Kompak
Seperti skrin notifikasi panggilan telefon, antaramuka Siri juga diberikan nafas baharu. Apabila diseru, sebuah ikon Siri beranimasi akan dipaparkan pada bahagian bawah skrin yang tidak lagi menutup keseluruhan skrin. Sekiranya pertanyaan diberikan, sebuah skrin kecil pop naik akan memaparkan maklumat yang relevan sekali lagi tidak menutup keseluruhan skrin peranti.
Sekali lagi antaramuka pembantu maya yang lebih kompak ini dipinjam dari Google Assistant yang dilancarkan pada tahun 2016 bagi menggantikan Google Now menerusi Google Pixel. Ia kemudiannya diberikan kepada kesemua peranti Android 6.0 Marshmellow dan ke atas yang menyokong GMS.
9. Menukar Aplikasi Lalai Pelayar Web Dan Emel
Selama ini Apple tidak dikenali sebagai pengeluar yang mendengar. Steve Jobs percaya pengguna tidak tahu apa yang mereka mahukan sebelum ditunjukkan. Tetapi pendapat ini sudah ketinggalan zaman dan input dari pengguna perlu didengari untuk kekal kompetitif. Di iOS 14, Apple akhirnya membenarkan pengguna menukar aplikasi lalai (default) pelayar web dan emel.
Selepas 14 iterasi perisian akhirnya ia diberikan sedangkan telah diminta oleh pengguna iOS sejak sekurang-kurangnya 12 tahun yang lalu. Syukur kepada tuhan kerana Apple kini tidak lagi mengekalkan doktrin degil Steve Jobs. Di Android pengguna bebas mengubah aplikasi lalai mereka sejak Android 2.2 Froyo sedekad yang lalu.
10. Carian Emoji Terbina Pada Papan Kekunci
Akhir sekali sebagai penutup ialah ciri melakukan carian emoji terus dari papan kekunci iOS 14. Ia adalah ciri yang amat-amat diperlukan kerana setakat ini sebanyak 3304 emoji telah diluluskan oleh Unicode. Angka ini akan bertambah setiap tahun sehingga sukar untuk mengikuti perkembangan. Selama ini di iOS pengguna perlu melakukan carian emoji secara manual. Dengan kotak carian emoji terbina, pengguna iOS 14 dapat mencari emoji paling sesuai dengan mesej yang ingin disampaikan.
Bagaimana pula dengan Android? Ciri ini telah disokong di papan kekunci Gboard sejak 2016 dan boleh digunakan peranti Android 4.4 dan ke atas. Gboard lebih maju boleh melakukan carian emoji dan GIF beranimasi serentak.
Okay, bertenang semua. Jangan marah marah. Penulis tidak berniat apa-apa, cuma sekadar ingin mengupas mengenai pembaharuan yang dibawakan oleh Apple untuk kemas kini sistem operasi kali ini. Oh ya, penulis difahamkan iOS 14 beta untuk pembangun boleh dimuat turun sekarang secara dalam talian dan versi beta umum bakal tersedia bermula Julai depan. Untuk pengguna yang menunggu kemas kini stabil, ia akan ditawarkan pada September kelak.
Teks tambahan dan grafik – Effi Saharudin