Baru-baru ini kami laporkan yang Xiaomi bakal hadir dengan tetikus yang mempunyai mikrofon untuk menyeru pembantu digital. Ia adalah tetikus nirwayar berasaskan Bluetooth dan dilihat adalah antara yang unik, kerana tidak banyak tetikus yang mempunyai fungsi ini.
Terkini Xiaomi dilihat sedang mengumpul dana untuk Xiaomi XiaoAI Mouse, iaitu tetikus yang boleh menyeru pembantu digital Xiaomi – XiaoAI. Tetikus ini mempunyai mikrofon terbina dan juga butang khas untuk menyeru XiaoAI. Di bawah butang ini terdapat logo XiaoAI dengan lampu LED bagi memberi petanda yang seruan telah berjaya. Rekaan tetikus ini dilihat mempunyai rekaan yang mirip dengan Mi Wireless Mouse, mempunyai USB-C, bateri terbina 750mAh dan kerangka yang diperbuat dari bahan antibakteria. Bateri di dalamnya mampu bertahan selama 30 hari dan jika tidak digunakan, ia boleh bertahan selama 180 hari.
Jika pengguna tidak selesa menggunakan Bluetooth, pilihan menggunakan USB juga boleh dilakukan. Antara arahan suara yang boleh dilakukan adalah, “Open Word” untuk memudahkan lagi pengguna. Harga jualan tetikus ini adalah RMB 149 (~RM90), tetapi bagi yang menyertai pembiayaan di laman biayasama Xiaomi – harganya hanya RMB 129 (~RM78). Sudah tentu, ia menggunakan XiaoAI – jadi terhad di pasaran China sahaja.