Acer Swift 5 Bakal Hadir Dengan Rekaan Dan Komponen Baru – Dijana CPU Intel Tiger Lake

Acer Swift 5 Bakal Hadir Dengan Rekaan Dan Komponen Baru – Dijana CPU Intel Tiger Lake

Diterbitkan pada Jun 23, 2020 oleh .

Acer Swift 5 merupakan salah satu komputer riba yang paling popular dan diingini ramai kerana rekaannya yang nipis, padat dan ringan, disamping prestasi yang berkuasa.

Sewaktu acara Acer Global Press Conference yang berlangsung secara atas-talian, Acer mengemaskini model Swift 5 mereka dengan komponen dan rekaan baru sekali lagi.

Sama seperti model-model sebelum ini, Swift 5 dilengkapi paparan IPS 15 inci dengan ciri sesentuh. Saiz paparannya juga lebih besar kali ini dengan ratio skrin ke badan setinggi 90 peratus.

Di kala dunia sedang menangani wabak COVID-19, paparan tersebut juga mempunyai permukaan anti-mikrobial yang membantu dalam pembasmian kuman yang mungkin hadir di hujung jari-jemari.

Satu lagi perbezaan fizikal pada model baru ini ialah bahagian engsel Swift 5 baru ini akan mengangkat sedikit bahagian papan kekunci untuk pengalaman menaip yang lebih selesa.

Acer juga merupakan salah satu daripada jenama komputer riba yang akan menggunakan CPU Intel Tiger Lake akan datang yang hadir dengan cip pemprosesan grafik Intel Xe.

Jika diperlukan, pengguna juga boleh memilih untuk mendapatkan model Swift 5 yang dilengkapi cip pemprosesan grafik NVIDIA GeForce MX350.

Swift 5 juga menjanjikan jangkahayat bateri sepanjang hari, manakala satu pengecasan selama setengah jam membolehkan pengguna untuk menggunakan komputer riba ini selama empat jam.

Buat masa ini Acer masih belum mengumumkan bilakah mereka akan mula memasarkan komputer riba ini.



Paling Popular