Cari @ Amanz

Siri komputer riba gaming Predator Helios boleh dikatakan siri komputer riba gaming paling berkuasa keluaran Acer. Ia biasanya akan dimuatkan dengan komponen-komponen terbaru dan termahal di pasaran sekarang,

Sewaktu acara Acer Global Press Conference, mereka telah mengemaskini model Predator Helios 300 dan Predator Helios 700 mereka dengan komponen-komponen daripada Intel dan NVIDIA yang terbaru.

Bermula dengan Predator Helios 300, ia hadir dengan paparan bersaiz 15.6 inci dengan resolusi Full HD dan kadar segar semula 240Hz dan bingkai nipis.

Ia dikuasakan oleh pilihan CPU Intel Core siri H generasi kesepuluh Comet Lake dan pilihan memori DDR4 setinggi 32GB. Predator Helios 300 ini juga hadir dengan dua storan SSD NVMe yang dipadankan dalam konfigurasi RAID0 dan hadir dengan storan cakera keras tambahan 2TB.

Predator Helios 300 ini turut dikuasakan oleh GPU NVIDIA GeForce RTX 2070 Max-Q yang cukup berkuasa untuk menggerakkan banyak permainan-permainan moden hari ini.

Predator Helios 700 diperkenalkan untuk kali pertama di acara Acer GPC tahun lepas sebagai peranti pengganti desktop dimana ia adalah sebuah komputer riba gaming gergasi yang dimuatkan dengan komponen-komponen gaming yang paling berkuasa.

Sama seperti model tahun lepas, ia dilengkapi paparan IPS bersaiz 17.3 inci dengan resolusi Full HD dan kadar segar semula 144Hz. Ia dikuasakan oleh pilihan CPU Intel Core i9-10980HK or i7-10875H generasi kesepuluh dan memori sehingga 64GB jika diingini.

Dari segi pilihan GPU pula, Predator Helios 700 ini dimuatkan dengan pilihan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 2070 Super ataupun GeForce RTX 2080 Super untuk pengalaman gaming pada skala desktop gaming bersaiz penuh.

Untuk menyejukkan komputer riba ini, Acer menggunakan teknologi penyejukan Acer CoolBoost dan kipas penyejukan AeroBlade 3D yang dibina khusus untuk model ini.

Selain daripada itu, Acer juga akhirnya menggunakan bongkah penyejukan Power Gem yang mengalirkan haba pada kadar 3.8 kali lebih baik berbanding dengan pengalir haba yang lain. Power Gem ini hanya digunakan untuk model yang dikuasakan oleh CPU Intel Core i9 terbaru.

Gimik paling utama komputer riba ini ialah papan kekunci HyperDrift yang boleh ditarik kebawah untuk menunjukkan sistem penyejukan komputer riba ini dan meningkatkan prestasinya dengan ciri lewahjam automatik.

Acer menyasarkan Predator Helios ini bukan sahaja untuk tujuan gaming semata-mata, tetapi juga sebagai sebuah komputer riba yang boleh melakukan tugasan lain sekaligus, seperti penstriman, rakaman permainan dan juga pengekodan video.

Buat masa ini, Acer masih belum mengesahkan lagi bilakah kedua-dua model Predator Helios ini akan tiba untuk pasaran antarabangsa.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd