Kerusi gaming bukanlah sesuatu yang baru. Banyak sahaja syarikat tempatan dan antarabangsa yang telah memperkenalkan perabot ini untuk mereka yang gemar duduk setempat dan bermain permainan komputer untuk jangkamasa yang lama.
Sewaktu acara atas talian Acer Global Press Conference yang baru sahaja berlangsung, Acer telah memperkenalkan pilihan kerusi gaming terbaru mereka, iaitu Predator Gaming Chair x OSIM.
Anda mungkin kenal OSIM sebagai syarikat yang membina perkakasan dan perabot mengurut dan dengan kerusi ini, Acer telah memperkenalkan kerusi gaming yang juga boleh mengurut.
Kerusi ini hadir dengan beberapa mod mengurut yang bukan sahaja boleh mengurut bahu anda, tetapi juga seluruh bahagian belakang anda. Untuk pengalaman mengurut yang lebih baik, kerusi ini juga boleh disandarkan kebelakang sejauh 145 darjah.
Jika anda seorang bangsawan yang memiliki kubu gaming Predator Thronos Air, anda juga boleh mengeluarkan kerusi didalam kubu tersebut dan menggantikannya dengan kerusi ini.
Selain daripada sistem urutan keluaran OSIM, ia juga dilengkapi dengan dua pembesar suara Bluetooth terbina di bahagian rehat kepala.
Buat masa ini, Acer masih belum mengumumkan lagi bilakah kerusi gaming mengurut ini akan tiba di pasaran.