ROG Phone 3 adalah antara peranti yang menjadi bualan hangat di kalangan pengguna media sosial ketika ini. Hari demi hari, semakin banyak maklumat tertiris mengenainya yang dikongsi kepada umum.
Terkini, giliran tarikh pelancarannya pula didedahkan menerusi sebuah poster acah. Ia memperlihatkan peranti ini dijadualkan diperkenalkan secara rasmi di China pada Julai kelak. Pun begitu, tarikh rasminya masih menjadi tanda tanya sehingga kini. Mungkin kita akan mendengarnya dalam masa terdekat ini.
Dalam perkongsian yang berasingan, Asus mengesahkan bahawa mereka sekali lagi bekerjasama dengan Tencent pada model kali ini. Difahamkan, fokus kali ini tertumpu kepada prestasi perkakasan yang optimum dalam usaha memberi pengalaman permua lebih baik.
Sekadar makluman, Lenovo Legion juga dijangka muncul pada bulan hadapan. Jadi, nampaknya kita bakal melihat kemunculan dua peranti permua yang ditunggu-tunggu ramai tiba tidak lama lagi. Bagaimana dengan penawaran pula? Sama-sama kita tunggu.