Cari @ Amanz

Acer turut terkenal dengan pelbagai jenis paparan untuk digunakan bersama-sama dengan PC atau skrin tambahan untuk komputer riba. Tidak kira untuk pengguna kreatif, kasual atau permainan video semuanya ditawarkan. Dalam arena permainan video Acer, mereka terkenal dengan jenama Predator – yang mana turut mempunyai pelbagai paparan menarik dari pelbagai kategori harga. Yang terkini adalah dua paparan Predator, iaitu Predator X25 dan siri XB3.

Predator X25

Paparan ini mempunyai panel skrin bersaiz 24.5-inci dengan resolusi hanya FHD sahaja. Tetapi ia menyokong NVIDIA G-Sync dan juga mempunyai kadar segar semula yang agak tinggi, iaitu 360Hz. Suhu warna dan kecerahan pada X25 ini turut boleh dilaraskan secara automatik mengikut keadaan cahaya di dalam bilik. Kemudian dengan LightSense, ia boleh mengesan jumlah cahaya ambien agar penggunaan paparan adalah sesuai dengan mata pengguna. Acer turut menjanjikan pengalaman permainan video yang realistik dan dekat dengan dunia nyata. Oh ya, untuk kesihatan pengguna – Acer hadir dengan ProxiSense yang boleh memberi peringatan kepada pengguna yang mereka perlu berehat seketika.

Paparan ini turut boleh diubah sudut pandangannya ke arah -5 hingga -25 darjah ke atas atau ke bawah, +/- 30 darjah ke sisi, ketinggian pula boleh dilaras sehingga 4.7-inci tambahan dan akhir sekali ia boleh diputarkan pada kadar +/- 90 darjah. Untuk port sambungan pula, Predator X25 menyertakan 2x HDMI 2.0, 1x DisplayPort 1.4, bicu audio dan 4x USB-A. Tiada lagi harga yang diumumkan.

Siri Predator XB3

Predator XB323QK NV (31-inci), XB273U GS (27-inci), XB273U GX (27-inci) dan XB253Q GZ (24.5-inci) adalah empat paparan dalam siri XB3 ini. Kesemuanya juga adalah paparan yang memfokuskan permainan video. Kesemua paparan ini juga menyokong NVIDIA G-SYNC, kadar segar semula sehingga 240Hz, dan resolusi yang mencapai 4K UHD. Sudut pandangan adalah 178 darjah, jadi masalah silau tidak akan berlaku, menariknya ia turut mempunyai pengiktirafan HDR melalui DisplayHDR yang boleh memaparkan 400 imej terang dengan warna yang jitu. Sela masa pula adalah 0,5ms, mengurangkan masalah gerakan yang kabur, dan turut mempunyai Acer AdaptiveLight yang boleh memastikan keselesaan pengguna ketika bermain permainan video.

Rekaan juga adalah ergonomik, yang mana paparan ini boleh diubah sudut ke atas, toleh ke sisi, boleh dipusingkan dan ketinggian juga boleh dilaraskan. RGB LightSense turut terbina bagi menambah kesan cahaya yang nampak cantik yang boleh diubah mengikut kehendak pengguna. Seperti X25, harga juga masih tidak diumumkan lagi.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd