Beberapa hari lalu, kami berkesempatan untuk melawat pejabat Acer Malaysia untuk melihat sendiri beberapa peranti yang bakal diumumkan di acara Acer Global Press Conference semalam.
Diantara peranti yang sempat kami lihat ialah Acer Swift 5, diantara model komputer riba mereka yang paling popular. Pihak Acer Malaysia mengatakan bahawa ia adalah model baru yang dikuasakan CPU Intel generasi terbaru yang bukan Comet Lake.
Seperti yang sedia maklum, komputer riba Swift 5 ialah komputer riba produktiviti yang paling padat dan ringan keluaran Acer. Dengan berat kurang daripada 1kg dan ketebalan didalam lingkungan 2cm, popularitinya meningkat kerana gabungan rekaan nipis dan ringan yang digabungkan dengan komponen-komponen kelas Ultrabook keluaran Intel.
Dari sekilas pandang, ia kelihatan seperti Acer tidak melakukan perubahan yang ketara kepada rupa bentuk Swift 5, tetapi jika dilihat dengan teliti, beberapa perbezaan dapat dilihat pada komputer riba ini, dan ia memberi nafas baru kepada komputer riba ini.
Bermula dengan paparan dan rangka Swift 5 terbaru, Acer masih mengekalkan rangka aloi magnesium yang menjanjikan sebuah komputer riba yang sangat ringan.
Paparan 15 inci Swift 5 ini hadir dengan skrin dengan bingkai yang jauh lebih nipis berbanding sebelum ini. Ia juga masih mempunyai ciri sesentuh yang digunakan pada semua model-model Swift 5 sebelum ini.
Bingkai paparan Swift 5 juga dilihat lebih nipis sekarang, dengan Acer mengatakan bahawa nisbah paparan ke bingkai kini setinggi 90 peratus memberikan pengguna lebih banyak ruang bekerja didalam rekaan kecil komputer riba ini.
Satu lagi penambahan kepada paparan Swift 5 ini ialah ia dipadankan dengan skrin Gorilla Glass yang dilitupi permukaan anti-mikrobial yang membunuh kuman dari jari-jemari apabila anda menyentuh paparan.
Dua perbezaan ketara hadir dari segi rekaan engsel dan juga sistem penyejukan yang digunakan untuk Swift 5 ini. Apabila paparan didalam keadaan terbuka, bahagian bawah paparan ini akan mengangkat sedikit bahagian papa kekunci untuk membolehkan pengguna menaip dengan lebih selesa.
Dalam pada itu, sebahagian daripada sirip dan kipas penyejuk Swift 5 kini menghala ke arah paparan skrin. Ini secara teknikalnya menambah ruang penyejukan untuk CPU dan GPU, tetapi terdapat kerisauan bahawa ia akan mengakibatkan paparan mengalami masalah haba dalam jangkamasa panjang.
Dari segi pilihan palam I/O, Swift 5 dilengkapi dengan palam HDMI, dua palam USB 3.0 dimana salah satu daripadanya mempunyai sokongan Power Delivery, dan satu palam USB 3.0 Type-C yang juga boleh digunakan untuk mengecas komputer riba ini.
Beralih kepada spesifikasi dalaman, kami diberitahu bahawa Acer Swift 5 ini dikuasakan oleh CPU Intel generasi terbaru. Malah, ia lebih baru daripada CPU Comet Lake yang sedang giat digunakan di pasaran sekarang.
Pihak Acer Malaysia tidak memberitahu apakah CPU yang menguasakan komputer riba tersebut. Setelah membelek komputer riba tersebut untuk seketika, kami dapati bahawa bahagian grafik komputer riba ini dikuasakan oleh cip grafik generasi ke-12 Intel, ataupun cip pemprosesan grafik Xe yang bakal digunakan oleh siri CPU Intel Tiger Lake akan datang.
Sewaktu acara Global Press Conference yang berlangsung semalam, pihak Acer mengesahkan bahawa ia adalah cip pemprosesan grafik Xe, tetapi anehnya tidak mengesahkan bahawa ia adalah CPU Intel Tiger Lake yang diwarwarkan.
Komponen-komponen lain yang menguasakan Swift 5 termasuklah pilihan memori DDR4 setinggi 16GB dan storan SSD PCIe sebesar 1TB. Bagi mereka yang mengingininya,
Sebelum ini kami ada melaporkan bahawa cip pemprosesan grafik Xe ini dilihat sendiri oleh Intel mampu menggerakkan permainan Battlefield V pada resolusi Full HD dengan kadar segar semula 30FPS.
Walaupun begitu, kami tidak berkesempatan menguji sebarang permainan kerana masa yang terhad, dan tiada sebarang permainan komputer dipasang pada komputer riba Swift 5 tersebut.
Acer Swift 5 dengan CPU Intel terbaru ini pastinya menjanjikan prestasi yang jauh lebih mengagumkan berbanding dengan apa yang ada di pasaran sekarang, khususnya dalam kategori grafik, dimana ia dijangka menandingi cip grafik Radeon RX Vega keluaran AMD.
Acer Swift 5 dengan cip pemprosesan terbaru ini dijangka akan diperkenalkan secara rasmi dengan spesifikasi penuh pada penghujung tahun ini.