Bercakap mengenai Honor, perkara pertama yang akan terpacul keluar daripada mulut para pengguna adalah berkaitan Google Mobile Services (GMS). Sedia maklum, peranti terkini daripada Honor tidak lagi menyokong perkhidmatan GMS. Mereka hadir dengan alternatif lain dengan menggunakan Huawei Mobile Services (HMS) yang mana para pengguna perlu melakukan sedikit penyesuaian dengan kaedah berbeza untuk memuat turun aplikasi.
Baru -baru ini, Honor telahpun memperkenalkan Honor 9A di Malaysia iaitu sebuah peranti terbaru daripada mereka dengan penawaran harga di bawah RM600. Penulis difahamkan, peranti ini membawakan sejumlah spesifikasi asas yang menarik termasuklah bateri yang besar 5,000mAh, tiga kamera utama dan menggunakan App Gallery.
Ya, anda tidak salah baca. Honor 9A menggunakan App Gallery. Ramai merasakan perkara tersebut agak menjengkelkan tapi sebenarnya ia mungkin tidak seburuk yang disangkakan. Mungkin benar, penawaran aplikasi pada App Gallery agak terhad buat masa ini. Namun, terdapat juga beberapa kaedah lain yang boleh anda gunakan lagi – seperti aplikasi Petal Search atau Phone Clone. Tapi, adakah ia mesra pengguna? Ini adalah artikel pandang pertama penulis untuk Honor 9A.
Spesifikasi Dan Penggunaan
Honor 9A | |
---|---|
Skrin | 6.3″ HD+ (1600 x 720 piksel) |
Pemproses | MediaTek Helio P22 |
Cip | 4×2.0 GHz Cortex-A53 4×1.5 GHz Cortex-A53 |
Cip Grafik | PowerVR GE8320 |
RAM | 3 Gigabyte |
Muatan Dalaman | 64 Gigabyte (eMMC 5.1) |
Kamera Utama | 13MP f/1.8 (utama) + 5MP f/2.2 (ultra lebar) + 2MP f/2.4 (kedalaman) |
Kamera Depan | 8MP (f/2.0) |
Bateri | 5,000mAh |
SIM/Telefon | nano SIM + nano SIM + microSD |
NFC | Ya |
Infra Merah | Tiada |
Kalis Air | Tiada |
Sistem Imbasan | Pengimbas Cap Jari Fizikal, Imbasan Wajah |
Harga Jualan | RM 549 |
Sebagai permulaan, penulis akan menyentuh terlebih dahulu mengenai spesifikasi peranti ini terlebih dahulu. Honor 9A menggunakan paparan bersaiz 6.3-inci LTPS LCD yang menyokong resolusi HD+ (1600 x 720 piksel) sahaja dengan kadar kepadatan piksel sebanyak 278ppi. Tunjang utama peranti ini menggunakan cip pemproses MediaTek Helio P22 – pemproses yang sama digunakan pada Vivo Y15 (2020) dan Realme C2 sebelum ini. Di Malaysia, Honor 9A hanya ditawarkan dalam satu variasi sahaja iaitu 3GB RAM dan storan 64GB. Rasa tidak cukup? Ruangan ini boleh dikembangkan menerusi kad MicroSD sehingga had maksimum 512GB.
Untuk tetapan kamera, peranti ini didatangkan dengan tiga kamera utama di belakang dengan gabungan lensa 13-Megapixel (utama) + 5-Megapixel (sudut-lebar) + 2-Megapixel (kedalaman) dan kamera swafoto dengan lensa tunggal 8-Megapixel. Beralih pada bateri pula, penulis boleh katakan ini mungkin berita baik kerana kapasiti baterinya adalah 5,000mAh. Cuma sayangnya, Honor masih menggunakan sambungan micro USB pada peranti ini. Di tahun 2020, keputusan Honor untuk menyertakan sambungan seperti ini mungkin bukan langkah yang bijak.
Binaan Honor 9A boleh dikatakan agak kompak dan penulis berpendapat peranti ini terasa sedikit berat bila dipegang. Tapi, jangan risau kerana ia masih selesa untuk dipegang. Honor menggunakan rekaan paparan bertakuk kecil pada panel hadapan peranti untuk memberikan ruang paparan yang lebih luas. Kalau anda perhatikan, binaan bezelnya nampak nipis pada bahagian sisi dan juga atas. Tapi sayang, bingkai pada bahagian dagu masih agak tebal. Tapi, penulis bersyukur kerana bingkai ini langsung tidak mengganggu sepanjang penggunaan buat masa ini.
Cubaan ringkas, penulis mendapati kualiti paparan pada peranti ini dilihat baik-baik sahaja. Kita juga dapat lihat warna yang ditampilkan nampak menyerlah dan bersesuaian untuk kegunaan harian. Skrin yang ditawarkan di sini juga cukup terang. Pengalaman menonton video juga, penulis boleh katakan agak memuaskan dengan persembahan darjah pandangan yang baik.
Panel belakang peranti ini nampak ringkas sahaja. Unit yang penulis terima untuk artikel pandang pertama ini adalah berwarna Phantom Blue iaitu kemasan berwarna biru yang berkilat. Bagi penulis, tampilannya dirasakan biasa-biasa sahaja. Di bahagian ini, ia didominasikan oleh kamera yang disusun dalam bentuk empat segi dan ditempatkan pada sisi kiri peranti. Di sini juga anda akan dapat lihat terdapatnya pengimbas cap jari fizikal berbentuk bulat untuk tujuan keselamatan. Tapi, andai kata anda kurang gemas dengan fungsi ini, anda masih boleh menggunakan fungsi imbasan wajah sebagai pilihan.
Seterusnya, kita juga dapat lihat susun atur butang standard pada peranti ini ditempatkan pada kedudukan ergonomik dan mudah untuk dicapai. Butang kuasa dan laras suara ditempatkan pada sisi kanan. Butang-butang asas yang penulis sebutkan ini didatangkan dengan binaan yang kukuh. Manakala, anda akan menemui slot kad SIM pada sisi kiri yang mana ianya menyokong sehingga 3 slot kad (nano SIM + nano SIM + microSD). Untuk sambungan, Honor 9A menawarkan sambungan mikro USB yang ditempatkan di bahagian bersama-sama bicu audio 3.5mm dan juga pembesar suara.
Honor 9A membawakan cip pemproses MediaTek Helio P22 yang dipadankan dengan RAM 3GB dan storan 64GB. Dengan semua gabungan ini, analisis awal penulis mendapati Honor 9A dilihat boleh menggalas tugas harian dengan baik. Proses membuka dan menutup aplikasi juga dilihat lancar dengan peralihan animasi yang memuaskan. Pengalaman tatalan juga terasa baik-baik sahaja dan penulis tidak menemui sebarang masalah yang serius sepanjang percubaan. Nampaknya, tiada komen negatif yang boleh diberikan buat masa ini. Tapi, mesra penulis ingatkan ini hanyalah cubaan ringkas sahaja. Penulis akan mengulas mengenai prestasinya dengan lebih lanjut pada ulasan yang akan datang.
Antaramuka Dan Pengelaman Penggunaan
Untuk perisian yang unit kami yang terima, peranti ini menggunakan antaramuka Magic UI 3.1 berasaskan Android 10 terkini. Baik, penulis yakin persoalan ini yang kebiasaan akan terpacul di minda anda semua. Honor 9A tiada Google Mobile Services (GMS) kan? Ya! Seperti yang penulis katakan di awal pembukaan artikel ini. Honor 9A menggunakan App Gallery. Ini bermakna peranti ini didatangkan dengan sistem Huawei Mobile Services (HMS) sepenuhnya. Jadi, anda boleh mencari segala aplikasi menerusi App Gallery.
Tapi anda kata, mungkin ada di antara aplikasi yang dicari tiada pada App Gallery. Cara kedua yang boleh anda gunakan adalah menggunakan aplikasi Petal Search. Ia baru sahaja diperkenalkan di Asia tenggara dan ia berfungsi sebagai akses pintas yang memudahkan pencarian anda dengan menghubungkan secara terus ke halaman pihak ketiga (third party). Dalam erti kata mudahnya, ia berfungsi sebagai akses pintas untuk anda mencari aplikasi.
Sebagai contoh, anda ingin mencari aplikasi Instagram. Anda hanya perlu buka aplikasi ini dan taip pada kotak carian (search). Kemudian, ia akan membawa anda secara terus ke aplikasi yang dicari dan muat turun sahaja. Tapi mesra penulis ingatkan di sini, aplikasi Patel Search ini perlu dimuat turun terlebih dahulu menerusi App Gallery. Tapi, anda kata anda ingin lagi mudah. Anda boleh menggunakan Phone Clone yang telah tersedia dalam peranti ini. Melaluinya, segala fail termasuklah gambar, video dan aplikasi boleh dipindahkan dengan mudah.
Kamera
Untuk tetepan penggambaran, Honor 9A membawakan tiga kamera utama : 13-Megapixel (utama) + 5-Megapixel (sudut-lebar) + 2-Megapixel (kedalaman). Kamera utama pula sebesar 8-Megapixel. Anda juga boleh temui beberapa fungsi lain yang tersedia seperti aperture mode untuk penghasilan gambar dengan kesan bokeh, beauty mode untuk mendapatkan gambar yang lagi cantik dan sejumlah fungsi lain seperti HDR, panorama serta Pro yang ditempatkan pada ruangan ‘more’ dan ia boleh diakses dengan mudah. Untuk video, rakaman tertinggi adalah FHD pada kadar 30fps. Berikut beberapa gambar yang sempat penulis ambil untuk artikel pandang pertama ini :
KESIMPULAN
Pada analisis awal, tidak banyak yang boleh penulis komen mengenai peranti dan ia dilihat memberi pengalaman yang baik-baik sahaja buat masa ini. Tapi, ini hanya analisis awal dan penulis akan mengujinya lagi dengan lebih lanjut dalam ulasan akan datang. Bagi yang berminat, Honor 9A telah dirasmikan di Malaysia dengan harga RM549. Sebagai pilihan, peranti ini tersedia dalam dua warna iaitu Phantom Blue dan Midnight Black. Tapi andai kata, anda sedang mencari peranti terkini Honor yang menyokong GMS, mungkin anda boleh pertimbangkan untuk membeli Honor 9X Lite. Atau sebagai alternatif lain yang mungkin lebih berbaloi, anda juga mungkin boleh pertimbangkan Redmi 9.