Salah satu daripada kerisauan pengguna mengenai komputer riba Mac akan datang yang menggunakan cip pemprosesan Apple Silicon ialah sokongan untuk perisian memasang sistem operasi tambahan Boot Camp.
Pihak Microsoft hari ini mengesahkan bahawa perisian Boot Camp tidak boleh digunakan untuk memasang sistem operasi Windows 10 pada peranti Mac akan datang.
Ini adalah kerana sistem operasi Windows 10 versi ARM dilesenkan kepada pembangun peranti secara terus dan tidak boleh dimuat-turun dan dipasang sendiri oleh pengguna.
Apabila ditanya jika polisi ini akan diubah untuk menyokong pemasangan sendiri, pihak Microsoft berkata mereka tidak mempunyai sebarang pelan mengenai isu tersebut buat masa ini.
Menariknya, Microsoft diantara syarikat terawal yang sedang bekerjasama dengan Apple untuk membangunkan perisian produktiviti Microsoft Office untuk sistem operasi MacOS Big Sur yang akan dikuasakan oleh Apple Silicon.
Adakah Apple ataupun Microsoft akan mengumumkan sokongan sistem operasi tersebut untuk peranti-peranti baru Apple di masa akan datang? Sama-sama kita tunggu.