Sewaktu acara WWDC yang baru sahaja berlangsung beberapa hari yang lalu, pihak Apple telah memperlihatkan pelbagai ciri-ciri baru yang akan tiba melalui sistem operasi iOS 14 dan juga MacOS Big Sur.
Salah satu perisian yang tidak begitu banyak diketengahkan ialah pelayar web Safari. Ia dilaporkan bahawa Safari 14, iaitu versi Safari yang akan tiba melalui iOS 14 dan macOS Big Sur akan tiba dengan sokongan log masuk laman web menggunakan Face ID dan Touch ID.
Ciri ini diperlihatkan oleh pihak Apple sewaktu acara breakout pembangun yang memperlihatkan kebolehan pelayar web tersebut untuk melog masuk kedalam beberapa laman web tanpa perlu kata laluan.
Menurut Apple, mereka menggunakan teknologi log masuk Webauthn sama yang dibangunkan oleh FIDO Alliance dan juga W3C yang telah diimplimentasi di pelayar Microsoft Edge, Google Chrome dan juga Mozilla Firefox dua tahun yang lalu.