Google Meet Dikemaskini Untuk Melancarkan Lagi Pembelajaran Atas Talian

Google Meet Dikemaskini Untuk Melancarkan Lagi Pembelajaran Atas Talian

Diterbitkan pada June 26, 2020 oleh .

Sejak PKP bermula, pembelajaran format sekolah kini terpaksa berpindah sepenuhnya secara atas talian. Ia membuka beberapa kekurangan infrastruktur negara seperti kelemahan capaian Internet di kawalan luar bandar sehingga pelajar terpaksa memanjat pokok di Sabah. Perisian pembelajaran atas talian juga dilihat kurang memuaskan dan oleh itu Google Meet telah dikemaskini bagi memudahkan pelajar serta pendidik.

Pertama sekali latar belakang pengguna Google Meet kelak boleh dikaburkan bagi meningkatkan privasi serta mengurangkan gangguan. Kesemua peserta kelas atas talian Meet boleh mengaburkan latar belakang dengan imej yang tersedia ataupun pilihan sendiri seperti yang ditawarkan oleh Zoom.

Di samping itu, Google juga dalam perancangan untuk menawarkan kebolehan panggilan video dengan bilangan ahli yang lebih ramai sehingga 49 orang dalam satu masa. Ciri lain yang diperkenalkan Google Meet ialah fungsi mengangkat tangan untuk ahli yang ingin bertanyakan soalan (Hand Raising), senarai kehadiran (Meeting Attendance), pembahagian kumpulan kecil untuk sebuah mesyuarat atau kelas yang besar (Breakouts Room), ruangan untuk mengemukakan soalan tanpa mengganggu perbualan (Q&A), undian masa nyata (Polling) dan kawalan tambahan untuk moderator seperti membisukan audio semua peserta.

Ciri-ciri baharu ini akan hanya diberikan kepada pengguna G Suite for Education dan G Suite Enterprise for Education. Sekiranya ada pihak sekolah yang berminat untuk mencubanya, mereka boleh menghubungi Googe menerusi pautan ini.

Dengan kesemua ciri-ciri ini proses pembelajaran dan juga mesyuarat atas talian diharap dalam dilakukan dengan lebih efektif. Ini adalah terutamanya amat penting untuk kanak-kanak yang sudah suku tahun tidak ke sekolah dengan pembukaan sepenuhnya untuk semua masih tergantung di udara.



TIPS & ULASAN