Cari @ Amanz

Adakah anda risau tentang tahap keselamatan masakan anda ketika wabak masih berleluasa? Pernah terjadi wabak demam kepialu di Amerika Syarikat pada awal kurun ke-20 akibat tukang masak yang menjadi penyebar. Di China sebuah kompleks restoran telahpun dibuka dengan kesemua tenaga kerjanya adalah robot yang boleh memastikan masalah seperti ini tidak akan berlaku.

Kompleks restoran sebesar 2000 meter persegi dibuka di Guangdong, China oleh Lucky Garden. Ia mempunyai restoran-restoran yang makanannya dimasak sepenuhnya oleh robot dan kemudian disajikan juga oleh kakitangan robot. Pelanggan memesan makanan menerusi skrin sesentuh pada tubuh robot pelayan.Sebanyak 200 jenis makanan yang ditawarkan restoran ini boleh dimasak dalam masa sepantas 20 saat.

Antara yang ditawarkan ialah masakan cina, aiskrim, mi dan makanan segera. Dengan saiz kompleks yang besar, sehingga 600 pelanggan boleh disajikan secara serentak menggunakan 20 jenis robot yang dibangunkan sendiri oleh Lucky Garden.

Selepas Guangdong, Lucky Garden bercadang mengembangkan penggunaan dapur robot ini ke kawasan lain di China dan Hong Kong, Memandangkan Lucky Garden telahpun bertapak di Johor, mungkin kita juga akan dapat makan di restoran yang dikendalikan sepenuhnya oleh robot di masa hadapan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd