AMD Mencapai Sasaran 25×20 Dalam Peningkatan Kecekapan Penggunaan Kuasa Cip Pemprosesan Mudah Alih
AMD

AMD Mencapai Sasaran 25×20 Dalam Peningkatan Kecekapan Penggunaan Kuasa Cip Pemprosesan Mudah Alih

Diterbitkan pada June 26, 2020 oleh .

Apabila bercakap mengenai komputer riba, ramai yang akan mengatakan bahawa satu-satunya pilihan pengguna ialah peranti yang dikuasakan cip pemprosesan Intel.

Walaupun begitu, kebelakangan ini, AMD dilihat telah memperbaiki prestasi perkomputeran mereka didalam pelbagai jenis metrik, termasuklah prestasi dan juga penggunaan bateri.

Pada tahun 2014, AMD telah meletakkan sasaran untuk diri mereka sendiri yang dinamakan 25×20, iaitu meningkatkan kecekapan penggunaan kuasa bateri setinggi 25 kali menjelang tahun 2020.

Terkini, Mark Papermaster, Ketua Pegawai Teknikal di AMD mengatakan AMD, melalui APU AMD Ryzen 7 4800H mereka telah meningkatkan kecekapan cip pemprosesan mereka setinggi 31.7 kali berbanding dengan pilihan cip pemprosesan mereka enam tahun dahulu.

Peningkatan kecekapan ini juga bermakna bahawa AMD telah mengurangkan penggunaan kuasa sebanyak 84 peratus dan jumlah masa tugas komputer sebanyak 80 peratus.

Ini membuatkan pilihan cip pemprosesan AMD setara dengan pilihan daripada Intel apabila bercakap mengenai kuasa pemprosesan dan penggunaan kuasa yang rendah.

Untuk memberikan perspektif baru, jika sebuah syarikat menggantikan 50,000 komputer riba yang menggunakan APU dari jangkamasa tiga tahun yang lalu, model-model baru ini akan mengurangkan penggunaan elektrik sebanyak 1.4 juta KW dan penjanaan karbon sebanyak 971 ribu kilogram ataupun 16 ribu pokok yang dapat diselamatkan sepanjang 10 tahun.

Kini, terdapat banyak jenama komputer riba yang sudahpun mula menjual komputer riba untuk pelbagai tujuan, seperti Acer, ASUS, MSI, Lenovo dan sebagainya yang sudahpun tiba dan akan tiba di pasaran tempatan.



TIPS & ULASAN