Chrome OS semakin lama semakin bagus untuk digunakan sebagai sistem operasi harian bagi mengendali tugasan ringkas seperti kerja-kerja menaip, membuat pelbagai jenis dokumen, atau juga sebagai medium untuk menikmati hiburan. Banyak Chromebook sudah dilancarkan dalam masa beberapa tahun ini, tidak kira dari yang mahal atau yang mampu milik – ciri dan fungsi utama tetap disokong. Sudah tentu hanya pada Pixelbook akan ada beberapa perkara khusus tambahan seperti mana Android pada peranti Pixel.
Terkini, Google dilihat bakal menyertakan pengurus papan klip pada Chrome OS. Untuk Android, peranti Samsung dan mana-mana peranti Android yang menggunakan papan kekunci GBoard – pengurus papan klip sudah sedia terbina. Ini bermakna jika pengguna menyalin sesuatu teks atau beberapa kali, ia akan tersimpan terlebih dahulu. Apabila membuka aplikasi baru seperti aplikasi mencatat nota, akses sahaja pengurus papan klip dan cari teks yang ingin ditampal.
Kod pada flag Chrome OS dilihat sudah bersiap sedia untuk hadir dengan fungsi ini;
Enable Multipaste
Pressing search + v will show a menu that allows you to paste things previously copied.
#multipaste
Pengurus papan klip ini kelak boleh diakses melalui Search + V, yang mana mirip dengan Windows 10 iaitu Windows + V. Buat masa ini antaramukanya dan apakah yang boleh disimpan dalam pengurus papan klip ini masih tidak diketahui. Adakah Google akan ikut Android yang boleh menyalin imej atau seperti Windows yang terhad pada teks sahaja? Sama-sama kita nantikan.