Carian
Astro Memulakan Ujian Aplikasi Televisyen Pintar Untuk Tontonan Tanpa Dekoder
June 27, 2020 Effi Saharudin

Pernah suatu ketika satu-satunya cara untuk menikmati kandungan Astro ialah dengan melanggan kepada perkhidmatan mereka. Ini memerlukan pengguna melanggan setiap bulan dan menanti pemasangan dekoder (dan piring satelit) di tempat kediaman. Dalam masa terdekad era penggunaan dekoder untuk menonton Astro pada televisyen akan berakhir dengan bermulanya ujian aplikasi Astro TV Beta yang baru diumumkan.

Pada waktu ini Astro sedang melakukan ujian aplikasi Astro TV Beta yang membolehkan kandungan distrim dari TV dan peranti pintar. Menerusi ujian Beta selama dua bulan ini, pengguna boleh menstrim 43 saluran dan juga 10,000 kandungan secara VOD dengan bayaran serendah RM1 sebulan.

Aplikasi Astro TV walau bagaimanapun hanya boleh digunakan pada model tertentu televisyen pintar yang menggunakan sistem operasi Android TV keluaran Sony dan Sharp sahaja pada waktu ini. Pada peranti pintar, pula pengguna Android 7.0 dan iOS 11 dan ke atas sahaja disokong. Ujian Astro TV Beta dijalankan secara tertutup tetapi pelanggan boleh memohon menerusi pautan ini.

Langganan menerusi aplikasi tanpa dekoder adalah evolusi seterusnya yang maakul pada waktu ini selari dengan pesaing mereka yang tidak memerlukan pemasangan perkakasan khusus. Sebagai bekas pengguna kami hanya mengharapkan aplikasi Astro TV akan ditawarkan juga untuk televisyen jenama lain dan sistem operasi lain seperti Tizen dan tvOS.

Komen