Cari @ Amanz

Tidak dinafikan, pasaran masa kini memperlihatkan pelbagai jenis pilihan komputer riba yang canggih. Tapi kalau anda perasan, pengguna lebih cenderung memilih komputer riba yang minimalis dan mudah dibawa kemana-mana. Lagi-lagi, bagi mereka yang sering bekerja di luar kawasan.

Antara lambakan pilihan komputer riba sedia ada, Acer juga dilihat tidak ketinggalan menawarkan pilihan terbaik untuk penggunanya dan mereka telah muncul dengan versi terbaharu untuk rangkaian Acer Swift 3 menerusi kemunculan Acer Swift 3 (2020). Sejak pertama kali dilancarkan, rangkaian ini sering mendapat perhatian mereka yang menyukai komputer riba yang minimalis dan nipis. Tanpa melengahkan masa, ini adalah ulasan penulis untuk Acer Swift 3 (2020).

 

Spesifikasi

Acer Swift 3 (2020) (Swift 3 SF314-42-R43G)
Skrin 14″ IPS LCD Full HD (1920 x 1080), Tiada sesentuh
Pemproses AMD Ryzen 5 4500U
Grafik AMD Radeon
RAM 8 Gigabyte LPDDR4
Muatan Dalaman 512GB PCIe NVMe SSD41`
Kamera 720P
I/O 1 X USB-C , 2 X USB-A 3.1, bicu audio
HDMI 1 x HDMI
Imbasan Pengecaman Wajah (Window Hello) & Cap jari
Bateri 65W
Harga Jualan RM2,599 – RM4,299

Seperti biasa, penulis akan mulakan dengan spesifikasi peranti terlebih dahulu. Acer Swift 3 (2020) (Swift 3 SF314-42-R43G) membawakan paparan skrin bersaiz 14-inci dengan nisbah skrin-ke-badan 83.65%. Panel yang digunakan adalah jenis IPS LCD dengan resolusi FHD (1920 x 1080).

Paparannya mungkin bukanlah yang paling tajam, namun penulis boleh katakan ia cukup memadai untuk penggunaan harian majoriti pengguna. Skrin yang digunakan tidak mempunyai sokongan skrin sesentuh.

Untuk unit ulasan yang kami terima, tunjang utama komputer riba ini menggunakan cip AMD Ryzen 5 4500U (2.30 GHz) yang dipadankan dengan konfigurasi RAM 8GB LPDDR4 serta storan 512GB PCIe NVMe SSD. Ia juga hadir dengan pemproses grafik AMD Radeon. Sebagai pilihan, komputer riba ini juga hadir dalam versi berbeza termasuk Intel Core i5-1035G1 yang dipasangkan dengan Intel UHD Graphics dan Intel Core i7- 1065G7 dengan NVIDIA MX250 Graphics. Ia juga dipra-pasangkan dengan Microsoft Office Home & Student 2019 bersama ketersediaan lesen yang sah untuk sepanjang hayat peranti. Melaluinya, pengguna boleh menambah saiz storan kerana dua slot untuk SSD disertakan. Namun begitu, saiz RAM adalah kekal kerana ia dipaterikan terus ke papan induk.

Bergerak ke palam I/O pula, Acer Swift 3 (2020) memberikan pengguna beberapa pilihan yang memadai. Ia dilengkapi port USB 3.1 Type-A, USB 3.1 Type-C Gen 2, kunci Kensington, bicu audio 3.5mm dan satu port HDMI yang boleh digunakan untuk menyambungkan paparan skrin kepada komputer riba. Cuma kurangnya, komputer riba ini tidak menyertakan pembaca kad. Lagi satu untuk unit ulasan yang kami terima, walaupun ia didatangkan dengan palam USB Type-C, ia tidak mempunyai sokongan Thunderbolt 3. Namun, berbeza pula dengan versi Intel yang didatangkan dengan sokongan Thunderbolt 3.

Kamera web yang digunakan hanya sekadar beresolusi 720P dan ditempatkan pada bahagian bingkai atas. Ia pada hemat penulis sedikit mengecewakan bagi sebuah komputer riba untuk kegunaan profesional. Komputer riba ini turut mempunyai sokongan imbasan wajah dan pengimbas cap jari dengan perisian Windows Hello yang boleh digunakan untuk menghidupkan dan log masuk tanpa perlu memasukkan kata laluan. Acer turut memasang pembesar suara stereo pada bahagian bawah komputer riba ini. Untuk kualiti bunyinya, penulis akan bercerita lebih lanjut selepas ini.

 

Reka Bentuk

Bercakap mengenai reka bentuk, penulis boleh katakan rekaannya yang minimalis membuatkan penampilannya nampak lebih moden dan up to date. Acer juga dilihat masih mengekalkan tema kompak dan nipis yang dibawakan oleh Acer pada generasi sebelum ini. Jika diteliti, binaan bezel di sepanjang sisi serta bahagian atas kelihatan tidak terlalu nipis dan tidak juga terlalu tebal. Cumanya penulis, kurang berkenan dengan binaan bezel pada bahagian bawahnya yang sangat tebal. Tetapi, adakah ia mengganggu penggunaan? Jawapannya, tidak. Jadi, walaupun ia tidak digemari penulis tetapi masih boleh dimaafkan lagi.

Rekaan penutup komputer riba ini nampak kemas dengan binaan aluminium secara penuh, kecuali pada bahagian binaan bezelnya yang menggunakan plastik. Bahagian bawah komputer riba ini terdapatnya empat pelapik getah bertujuan untuk mengelakkan calar dan mengelakkan peranti daripada menggeluncur dengan mudah daripada permukaan meja. Untuk diameter, komputer riba ini dibina dengan ukuran 17.95mm x 17.95mm x 218.9mm dan berat sekitar 1.2kg. Sepanjang penggunaan selama dua minggu, jujur penulis katakan tiada sebarang kritikan dan rungutan mengenai ukuran dan beratnya. Malah, ia terasa ringan dan selesa untuk dibawa ke mana-mana sahaja.

 

Papan Kekunci

Komputer riba ini mempunyai papan kekunci yang bersaiz penuh dengan sokongan nyalaan latar LED berwarna putih bagi memudahkan pengguna untuk menaip dalam keadaan gelap. Keterangan cahayanya memuaskan tetapi ia tidak boleh dilaras, sekadar boleh diaktifkan dan dinyahaktif sahaja dengan menekan kekunci F8.

Sepanjang penggunaan, penulis tidak mempunyai sebarang masalah untuk membiasakan diri dengan papan kekunci ini. Papan kekunci ini juga bersaiz biasa dengan travel yang memuaskan. Ruang antara setiap kekunci juga mencukupi untuk penggunaan lebih selesa. Prestasinya juga dilihat responsif. Seterusnya, anda akan menjumpai kekunci untuk kawalan sejumlah fungsi pada baris kekunci F. Ia termasuklah kawalan kelantangan bunyi, kawalan keterangan skrin dan banyak lagi.

Namun, tidak semuanya positif. Sebaliknya, terdapat sedikit kelemahan pada papan kekunci ini. Antaranya seperti butang kuasa dan butang delete yang ditempatkan bersebelahan menimbulkan ketidakselesaan kepada penulis. Penulis kurang berkenan dengan susunan seperti ini kerana ia sering mengakibatkan penulis tersilap tekan kekunci. Masalah ini adalah sama dengan apa yang penulis alami ketika mengulas Asus B9 sebelum ini.

Lebih menyedihkan, bila penulis ingin menekan kekunci delete / backspace tetapi tertekan pula butang kuasa. Komputer riba secara tidak langsung terpadam secara terus. Jadi, penulis terpaksa menekan sekali lagi untuk menghidupkannya semula. Selain itu, kekunci juga agak bising setiap kali ditekan.

 

Pad Sesentuh

Beralih ke pad sesentuh, keseluruhan permukaannya adalah licin, sekaligus memudahkan setiap pergerakan jari. Saiznya juga memuaskan dengan ukuran yang baik dan prestasi tindak balas mengesan pergerakan jari juga boleh dipuji. Sepanjang penggunaan, penulis mendapati proses menatal dan aktiviti melibatkan pad sesentuh ini terasa terasa lancar sahaja. Penulis akui, menaip menggunakannya terasa begitu selesa. Penulis juga tidak menggunakan tetikus sepanjang menggunakan komputer riba ini. Cumanya, butang klik terasa sedikit keras. Namun begitu, ia sama sekali tidak menyukarkan penggunaan.

 

Pengalaman Penggunaan

Untuk pengalaman penggunaan, pujian boleh diberikan pada rekaannya yang minimalis bersama padanan warna menarik. Saiznya yang nipis dan binaan yang kompak memberikan pengalaman memegang terasa hebat. Ia sama sekali tidak membebankan dan memegangnya dengan sebelah tangan juga tidak memberi sebarang masalah. Pujian juga boleh diberikan untuk prestasinya yang baik.

Di mana, ia berupaya menjalankan tugas harian dengan baik. Membuka sejumlah tab secara serentak juga terasa lancar tanpa sebarang masalah. Penggunaan untuk jangka masa yang lama juga terasa baik-baik sahaja dan meletakkannya di atas paha tidak sehingga terasa dibakar. Maksud penulis di sini, tiada masalah pemanasan yang serius ditemui. Pujian seterusnya diberikan pada keupayaan skrin dihidupkan dengan pantas sebaik sahaja penutup dibuka. Penulis angkat sahaja skrin, paparan akan terus menyala.

Pujian telah diberi, kini tiba masanya untuk kritikan pula. Kita sendiri tahu, tiada apa yang sempurna di dunia ini. Termasuklah, komputer riba ini sendiri. Seperti mana yang penulis katakan di bahagian papan kekunci, penulis sememangnya kurang berkenan dengan kedudukan kekunci kuasa dan kekunci delete pada komputer riba ini. Ia sering menyebabkan penulis berhadapan dengan masalah tersilap tekan kekunci.

Walaupun kadangkala menjengkelkan, tetapi itu masih boleh dimaafkan. Tapi, papan kekuncinya masih boleh dipuji kerana penulis tidak mengambil masa yang lama untuk membiasakan diri dengannya dan nyalaan lampunya juga memuaskan. Pengalaman penulis menaip sehingga lewat malam di dalam pencahayaan yang minima juga tidak memberi sebarang masalah.

Kritikan lain diberikan kepada prestasi pembesar suaranya. Komputer riba ini didatangkan dengan pembesar suara yang ditempatkan pada bahagian bawah. Penulis enggan komen lebih, namun kita sedia tahu dengan sokongan pembesar suara yang menghala ke bawah ini kebiasaannya memberikan kualiti audio yang kurang lantang. Perkara ini diakui oleh penulis, ketika menggunakannya di atas permukaan yang keras seperti meja, ia memantulkan audio yang boleh dikatakan baik. Tetapi, apabila digunakan di atas permukaan lembut seperti tilam, bunyi audionya terasa terperangkap dan tidak lantang.

 

Ujian Penanda Aras

Model yang penulis terima adalah kombinasi pemproses AMD Ryzen 5 4500U dengan memori sebesar 8GB RAM. Pengalaman penggunaan di dunia nyata terasa baik-baik sahaja. Pelbagai tugasan ringkas juga dapat dijalankan dengan lancar tanpa sebarang masalah yang melampau. Penulis juga sempat menjalankan beberapa ujian penanda aras seperti PCMark10 dan Crystal Disk untuk melihat prestasi komputer riba ini. Hasil ujian adalah seperti di bawah :

Bateri

Seterunya, Acer mendakwa komputer riba ini mempunyai kemampuan ketahanan bateri sehingga 11 jam lamanya. Tetapi, anda juga perlu ingat bahawa segalanya bergantung pada penggunaan harian masing-masing dan tahap kecerahan digunakan. Pada pengalaman penulis sendiri mendapati ianya mampu mencapai purata ketahanan mencecah 6 jam 30 minit dengan sekali pengecasan penuh. Penulis menggunakannya untuk menjalankan aktiviti ringkas termasuk menaip pelbagai artikel termasuk artikel ulasan ini, menonton video dan menstrim audio.

Sepanjang penggunaan, penulis menggunakan keterangan skrin pada tahap 50 peratus dan juga sambungan Wi-Fi. Untuk pengecasan pula, ia mengambil masa sekitar 1 jam 30 minit untuk pengecasan penuh. Pengecasan yang disertakan juga mempunyai saiz yang kecil dan tidak mengambil ruang yang besar di dalam beg komputer riba.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, ia mungkin bukan komputer riba berprestasi tinggi tetapi sebagai platform melakukan kerja di luar cukup memadai. Ia berfungsi dengan baik tanpa masalah sepanjang tempoh ulasan ini. Saiznya yang cukup baik, membuatkannya selesa untuk dibawa ke mana-mana sahaja. Cuma isunya di sini adalah kualiti audio yang kurang memuaskan dan kedudukan butang kuasa dan butang delete ditempatkan pada bahagian kurang disenangi. Jika anda seorang ‘audiophile’ atau mementingkan kualiti audio terbaik, anda harus mempertimbangkan pilihan lain.

PRO & KELEBIHAN

  • Rekaan minimalis dan mudah dibawa ke mana-mana.
  • Pilihan I/O yang pelbagai.
  • Prestasi boleh dikatakan baik.
  • Tiada masalah haba melampau.
  • Sokongan sistem biometri untuk nyahkunci.

KONTRA & KEKURANGAN

  • Tiada sokongan skrin sesentuh.
  • Kualiti audio kurang memuaskan.
  • Papan kekunci sedikit berbunyi ketika menaip.
  • Butang klik sedikit keras.
  • Lampu nyalaan papan kekunci tidak boleh dilaras.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd