Cari @ Amanz

DeepFake ialah teknologi pembelajaran mesin yang boleh mengubah wajah seseorang di dalam video dengan wajah individu yang lain. Kewujudannya menimbulkan pelbagai persoalan kerana boleh digunakan untuk menghasilkan video palsu yang boleh merosakkan imej individu. Terkini Disney Research Studios telah memperlihatkan sistem seakan DeepFake mereka sendiri untuk menghasilkan kesan khas filem.

Dengan sistem rangkaian neural mereka sendiri, Disney boleh mengubah wajah pelakon secara automatik untuk menghasilkan kesan khas untuk filem. Sebelum wajah asal diganti degan wajah baharu, sistem Disney memetakan titik-titik rujukan penting pada wajah yang penting untuk menghasilkan memek muka. Kemudian imej 2D dari wajah gantian ditampal pada video asal menggunakan titik  rujukan tadi. Hasilnya menurut Disney ialah pengubahan wajah yang lebih realistik berbanding sistem lain yang telah dibangunkan termasuk DeepFake.

Sebelum ini Disney “menghidupkan” semula watak Grand Moff Tarkin di dalam Rogue One walaupun pelakonnya Peter Cushing telah meninggal dunia sejak 1994. Teknik 3D digunakan untuk babak di dalam Rogue One. Menerusi sistem terkini ini, tiada keperluan menghasilkan kepala gantian 3D untuk mengubah wajah pelakon. Hanya data video dan 2D sahaja diperlukan,

Selepas ini tidak mengejutkan jika mendiang Carrie Fisher dan Paul Walker boleh berlakon semula dengan menggunakan wajah yang ditampal pada pelakon gantian di set.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd