Cari @ Amanz

Siri komputer produktiviti ASUS, iaitu ASUS VivoBook S14 dan VivoBook S15 hari ini menerima kemaskini baru dari segi rekaan dan juga komponen CPU yang menguasakan siri komputer riba ini.

Siri ASUS VivoBook ini menerima kemaskini rekaan sedikit dari segi penggunaan kemasan sisi serong (chamfered edge) yang bukan sahaja memberi komputer riba ini rekaan yang anggun, tetapi memudahkan pengguna untuk menaikkan bahagian paparan komputer riba ini.

Dalam pada itu, ASUS VivoBook S14 dan VivoBook S15 ini juga hadir dengan rekaan warna baru melalui Resolute Red yang memperlihatkan bahagian belakang paparan hadir dengan warna merah menyala.

ASUS VivoBook S14 (S433F) dilengkapi dengan paparan IPS bersaiz 14 inci dengan resolusi Full HD. Komputer riba ini dikemaskini dengan CPU Intel Core i7-10510U, memori DDR4 sebanyak 8GB dan storan SSD PCIe sebesar 512GB.

Dari segi pemprosesan grafik pula, komputer riba ini hadir dengan cip pemprosesan grafik NVIDIA GeForce MX250.

Beralih kepada ASUS VivoBook S15 (S533F), komputer riba ini mempunyai paparan skrin bersaiz 15 inci dengan resolusi Full HD yang sama. Ia dikuasakan CPU Intel Core i5-10210U, memori DDR4 sebanyak 8GB dan juga storan SSD PCIe sebesar 512GB.

Sama seperti VivoBook S14, ia turut dilengkapi dengan cip pemprosesan grafik NVIDIA GeForce MX250.

Kedua-dua komputer riba ini sudahpun tiba di pasaran tempatan pada tanda harga berikut:

  • ASUS VivoBook S14 (S433F) – RM3699
  • ASUS VivoBook S15 (S533F) – RM3199
© 2024 Amanz Media Sdn Bhd