Pada kebiasaannya, peranti boleh lipat dijual pada harga yang mahal. Jadi, ramai yang berkira-kira untuk memilikinya. Biarpun belum ada kepastian, namun terdapat desas-desus mengatakan Samsung dikhabarkan akan muncul dengan peranti boleh lipat yang lebih berpatutan dikenali sebagai Samsung Galaxy Fold Lite.
Pada awalnya, ia dijangka diperkenalkan seiring dengan pengenalan siri Samsung Galaxy Note 20, Samsung Galaxy Fold 2 dan Samsung Galaxy Z Flip 5G. Namun, maklumat terbaharu memaklumakan bahawa ia ditangguhkan ke tahun hadapan. Ramai mendakwa peranti ini bakal ditawarkan dengan harga yang lebih rendah dan berpatutan. Ia juga dikatakan mungkin menggunakan pemproses Snapdragon 865 dan hadir dengan storan 256GB.
Bagaimanapun, maklumat dikongsi masih diperingkat ura-ura dan pihak Samsung juga belum mengeluarkan sebarang kenyataan buat masa ini. Namun jika ianya benar, kita bakal melihat penawaran peranti boleh lipat pada harga lebih berpatutan kelak.