Cari @ Amanz

Realme sejak kebelakangan ini aktif dalam melancarkan aksesori audio, bermula dengan set fon telinga berwayar ke jenis nirwayar neckband dan kemudian beberapa TWS. Terkini dari Realme adalah Realme Buds Q, yang masa adalah sepasang TWS yang boleh dikatakan dengan rekaan tersendiri berbanding sebelum ini yang mirip dengan Apple AirPods. Realme Buds Q juga adalah TWS termurah dari Realme. Cuma dengan harga yang murah ini apakah pengorbanan yang Realme lakukan? Adakah kualiti audio mencukupi?

Ini adalah artikel ulasan saya. Saya sudah menggunakan Realme Buds Q untuk beberapa hari sebagai set fon telinga nirwayar saya dan saya ada beberapa pendapat menarik mengenainya. Ia memberi pengalaman yang bercampur aduk, ada baiknya dan ada juga kekurangannya. Saya juga akan berikan konklusi sama ada adakah ianya berbaloi atau baik beli sahaja yang lebih murah seperti Mi AirDots?


Spesifikasi & Rekaan

Realme Buds Q
Warna Hitam/Putih/Kuning
Teknologi Audio Pemacu Audio 10mm PEEK&PU
Bahan Binaan Plastik
Bluetooth Cip R1Q Bluetooth 5.0
Fungsi unik Boleh dipadankan dengan Realme Link
Kawalan sesentuh boleh diubah
Mod permainan untuk masa pendam rendah
Jarak Transmisi Sehingga 20m/66 kaki (kawasan terbuka)
Perllindungan Air IPX4
Pengecasan microUSB
Kapasiti Bateri 40mAh x2 + 400mAh
Masa Penggunaan Sehingga 20 jam
Berat 3.6g x2 + 28.2g
Harga Jualan RM129

Realme Buds Q adalah set fon telinga nirwayar sebenar atau nama lainnya adalah sejenis aksesori audio dalam kategori TWS. Format audio yang disokong pada TWS ini adalah SBC dan AAC sahaja, ini bermakna ia berfungsi dengan baik pada iPhone dan cukup baik untuk Android. Saiz Realme Buds Q ini juga adalah kompak dan mudah untuk dibawa ke mana sahaja. Saiz setiap fon telinga adalah 19.8mm×17.55mm×22.5mm dan pod pengecasannya pula adalah 59.8mm×45mm×29.9mm. Jumlah berat keseluruhan pula hanya sekitar 35 gram sahaja, ya amat ringan!. Untuk pemacu audio, Realme menggunakan pemacu bersaiz 10mm yang memfokuskan kepada bass.  Pemacumnya dibina dari bahan polimer khas yang digelar sebagai PEEK&PU untuk memastikan vokal yang jelas, frekuensi mid & high yang baik dan juga bass yang berkuasa.

Untuk tambatan, ia menggunakan cip R1Q yang menggunakan teknologi Bluetooh 5.0. Ini bermakna, proses tambatan adalah pantas antara banyak peranti. Selepas tambatan, Realme menjanjikan buka sahaja penutup pod pengecas – ia akan terus ditambat secara automatik. Menariknya, walaupun harga jualan adalah lebih murah, Realme menjanjikan tiada masalah sela masa. Oleh yang demikian mereka menyertakan mod permainan pada peranti ini untuk masa pendam serendah 119ms.

Realme buds Q ini juga mempunyai bahagian sesentuh untuk kawalan media, panggilan telefon dan mengaktifkan mod permainan tadi. Kemudian untuk perlindungan tambahan, ia mempunyai kalis percikan IPX4. Akhir sekali untuk bateri dan port pengecasan adalah dengan ketahanan selama 20 jam dan ia boleh dicas melalui port microUSB.

Untuk rekaan Realme telah bekerjasama dengan José Levy, iaitu pereka untuk jenama mewah Hermès. Menurut Realme, Buds Q ini menggunakan rekaan seakan batu karang yang bulat dengan permukaan lembut yang boleh ditemui di tepi pantai. Pada pod pengecasan dan fon telinga, kedua-duanya menggunakan rekaan bujur yang sama dan mempunyai kemasan matte black yang sama. Bukan itu sahaja, Realme turut tawarkan beberapa variasi warna – hitam, kuning dan putih.

Warna hitam yang saya gunakan ini dilihat amat mudah calar. Hanya letak dalam poket dengan kunci dan di dalam beg yang ada beberapa kabel pengecasan, permukaan Realme Buds Q ini sudah calar balar. Ya, kemasannya terasa premium, lembut dan menarik. Tetapi kualiti binaan tidak begitu kukuh dan terasa kurang berkualiti. Pada fon telinga pula, kawasan yang boleh disentuh diasingkan dengan warna hitam berkilat dan di muncung terdapat warna kuning agar selari dengan jenama Realme.

Satu lagi masalah pada Realme Buds Q ini adalah, ia tidak mempunyai sebarang lampu LED untuk memberitahu status bateri atau juga status tambatan. Ini adalah satu perkara yang sangat melecehkan dan menjengkelkan. Cara untuk tahu untuk tambat atau ditetapkan semula adalah dengan masukkan fon telinga ke dalam telinga, gunakan jari untuk sentuh dan dengar bunyi pemberitahuan.

Kualiti Audio

Apabila dengar sahaja kewujudan TWS ini, saya amat skeptikal mengenai kenapa ia diwujudkan dan adakah kualiti audio akan menjadi hambar. tetapi saya silap. Kualiti audio pada TWS ini adalah baik sekali dan itu membuatkan saya teruja dan terkejut. Ya, ia tidak sebaik TWS yang premium dan mahal – itu memang tidak patut dibandingkan. Saya cuba bandingkan dengan pengalaman ketika menggunakan Mi AirDots tahun lepas.  Tidak dinafikan yang Realme Buds Q ini lebih baik dan menarik.

Apabila memainkan muzik dari Spotify, ia mampu memberikan kualiti audio yang memuaskan dalam kategorinya. Bassnya tidak cukup dalam, tetapi mempunyai dentuman yang baik ketika ada elemn yang enak didengari dengan dentuman bass. Dari segi vokal, wanita dan lelaki dilihat setara sahaja dan tidak mempunyai sebarang masalah. Cuma untuk high ia tidak cukup baik dan menjadikan kualiti audio sedikit bingit. Aras suara juga tidak boleh ditetapkan pada yang tinggi dan perlu bawah 70% sahaja untuk pengalaman yang enak.

Pada panggilan telefon pula, suara akan didengari dengan jelas tanpa sebarang masalah. Mikrofonnya cukup baik untuk menangkap suara saya. menjadikan pengalaman panggilan telefon memuaskan. Saya bandingkan dengan Oppo Enco Free yang dijual pada harga lebih RM400, mikrofon Realme Buds Q ini adalah lebih baik.

Ketahanan Bateri

Bateri adalah seperti apa yang diiklankan. Cuma yang saya tidak gemar adalah, bateri setiap fon telinga tidak selari. Dalam kes ini, sebelah kanan lebih cepat menurun berbanding sebelah kiri. Setiap fon telinga mempunyai 40mAh bateri dan pada pod pengecasan adalah 400mAh. Termasuk dengan pod pengecasan, ia mampu bertahan selama sekitar 20 jam – dengan syarat aras audio adalah 50%. Jika penggunaan fon telinga sahaja, ia boleh digunakan secara berterusan untuk muzik selama 4.5 jam dan 3 jam untuk panggilan telefon secara berterusan. Kemudian untuk video, ia bertahan selama 6 jam.

Kekecewaan pada TWS adalah port pengecasan yang digunakan masih lagi berasaskan microUSB. Walaupun kabel sudah diberikan, untuk tahun 2020 microUSB sepatutnya telah pupus. Bateri juga boleh dipantau melalui aplikasi Realme Link pada peranti Android. Akan tetapi, aplikasi ini hanya boleh pantau tahap bateri fon telinga sahaja dan pengguna tidak akan tahu baki bateri pada pod pengecasannya. Pada iOS, tiada aplikasi yang disediakan – sebaliknya perlu bergantung pada sistem iOS untuk membaca data bateri.

Kawalan & Fungsi Pintar

Agak menarik yang TWS harga mampu milik ini mempunyai sokongan kawalan sentuhan. Setiap kiri dan kanan mempunyai kawalan tersendiri yang boleh pengguna lakukan. Jika tidak berminat menggunakan apa yang telah ditetapkan, pengguna bebas mengubah fungsi untuk setiap jenis kawalan. Misalnya, jika fon telinga kiri double-tap adalah main/jeda – pengguna boleh tetapkan sebagai langkau ke muzik seterusnya.

Melalui Realme Link, pengguna bebas lakukan apa sahaja termasuk dengan mengaktifkan mod permainan. Jika menggunakan iOS, tekan dan tahan sekitar 2 saat untuk aktifkan mod ini.

Paling pelik adalah Realme mendakwa Realme Buds Q ini sebagai salah satu daripada produk peranti berhubung mereka atau lebih spesifikm AiOT. Ini mungkin kerana aplikasi Realme Link ini adalah hab untuk pelbagai aksesori mereka termasuk peranti boleh pakai. Tetapi sentiasa berhubung melalui Bluetooh tidak dikira sebagai peranti berhubung. Jika ia berhubung sentiasa melalui Internet dan berada di awaman, ya ia adalah IOT.

Konklusi

Realme Buds Q ini dijual pada harga RM129. Ia jelas sekali ingin bersaing dengan Redmi AirDots atau Mi AirDots. Warna hitam dengan kemasan matte, rekaan tersendiri tetapi masih klise dan mirip dengan kebanyakan TWS lain, serta penggunaan microUSB. Dalam pengalaman saya, Realme Buds Q ini lagi enak kualiti audionya. Tetapi kualiti audionya tidak padan dengan harga jualan. Ini kerana harga jualan Mi/Redmi AirDots telah menurun pada bawah RM100. Malah ia boleh didapati pada harga serendah RM69.

Kekuatan pada Realme Buds Q jika Realme ingin kekalkan harga yangatas RM100 adalah – ia boleh dikatakan ia adalah sepasang TWS yang pintar. Ia boleh ditambat pada peranti dan mempunyai aplikasi untuk mengubah kawalan dan memantau bateri.

TWS ini juga sesuai untuk mereka yang baru ingin beralih ke set fon telinga nirwayar sebenar. Selain itu, pengguna yang aktif bermain permua juga sesuai memiliki Realme Buds Q ini kerana mempunyai masa pendam yang rendah.

Bagi yang berminat, Realme Buds Q akan mula dijual di pasaran Malaysia pada 6 Julai ini. Ia boleh dibeli menerusi Shopee, atau klik sahaja pautan di bawah ini;

KELEBIHAN KEKURANGAN
  • Kualiti audio yang baik dan memuaskan dalam kategori harga RM100+
  • Masa pendam rendah yang tiada masalah ketika bermain permua
  • Sangat ringan dan selesa di dalam telinga untuk penggunaan masa panjang
  • Boleh mengubah kawalan sesentuh mengikut citarasa pengguna
  • Terdapat aplikasi untuk pemantauan bateri
  • Aras audio maksima bingit
  • Tiada lampu LED utuk memaklumkan pengguna
  • Kualiti binaan lemah dan tidak kukuh
  • Kemasan yang mudah calar
  • Tiada pengecasan nirwayar.
  • Masih menggunakamn microUSB

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd