Maybank dan Shopee hari ini telah bekerjasama – termasuk dengan pihak Visa, dan telah melancarkan kad kredit terbaru mereka, dinamakan Maybank Shopee Credit Card.
Kad kredit ini ditujukan khusus untuk para peminat kedai atas-talian popular, Shopee. Seperti kebanyakkan kad kredit lain, kad kredit Maybank-Shopee ini turut menyertakan beberapa ganjaran menarik untuk pengguna laman edagang berkenaan.
Salah satu perkara yang menjadi fokus utama untuk kad kredit ini adalah pemberian Shopee Coins. Setiap pembelian biasa akan diberikan ganjaran 1x Shopee Coins, sementara pembelian di Shopee serta pembelian secara nirsentuh akan memberikan pengguna 2x ganjaran Shopee Coins.
Pengguna juga akan menerima Shopee Coins berganda ketika melakukan pembelian melalui laman Shopee pada tarikh-tarikh jualan khusus seperti 11.11 atau 12.12 – atau pada tarikh 28 setiap bulan.
Pengguna boleh mengumpulkan sehingga 5000 Shopee Coins untuk setiap tempoh penyata. 5000 Shopee Coins ini boleh ditukarkan kepada nilai sekitar RM50.
Bagi anda yang berminat, boleh membuat pendaftaran Maybank Shopee Visa Platinum Credit Card ini bermula 1 Julai ini. Anda perlulah mempunyai pendapatan tahunan melebihi RM36,000, selain berumur antara 21 tahun ke 65 tahun untuk membuat pendaftaran kad kredit ini.