Apple Dilaporkan Sedang Menguji macOS Pada iPhone

Apple Dilaporkan Sedang Menguji macOS Pada iPhone

Diterbitkan pada July 1, 2020 oleh .

Dengan telefon pintar mempunyai kuasa memproses yang tinggi, terdapat beberapa usaha untuk menyokong mod desktop secara terbina. Antara yang wujud di pasaran sekarang ialah Windows Continuum, Samsung Dex dan Huawei Easy Projection. Sehingga kini DeX mungkin yang mempunyai sokongan paling menyeluruh termasuk rentas peranti berlainan sistem operasi. Kini kedengaran ura-ura Apple mungkin akan turut memberikan fungsi desktop seakan DeX pada iPhone.

Menurut laporan AppleInsider yang memetik ciapan peniris Mauri QHD, Apple sedang menguji iPhone yang menggunakan macOS. Prototaip dikatakan telah dihasilkan dengan iPhone yang dijana cip Apple Silicon baharu. Ura-ura sebuah sistem operasi universal untuk kesemua peranti Apple telah lama didengari lebih-lebih lagi selepas Project Catalyst yang membolehkan aplikasi iOS digunakan pada macOS diumumkan tahun lalu.

Pada waktu tersebut kebarangkalian ini berlaku adalah rendah kerana iPhone dan Mac menggunakan pemproses berbeza. Tetapi dengan pengumuman Apple Silicon di WWDC yang baru berlalu, ura-ura ini kembali hangat kerana tiada lagi halangan senibina cip yang berbeza. Tiga tahun yang lalu Apple sendiri mempatenkan iPhone dan iPad yang berubah menjadi komputer riba menerusi kerangka khas menghasilkan peranti hibrid seperti Asus ZenPad.



Paling Popular