Huawei tidak dinafikan adalah jenama yang hebat dalam arena telefon pintar. Lihat sahajalah, tanpa Huawei tiada jenama akan terkejar-kejar untuk menjadi telefon pintar dengan kemampuan fotografi yang menakjubkan. Tetapi sejak isu dengan Amerika Syarikat, Huawei tidak lagi boleh berurusan dengan Google – jadi semua peranti bermula Huawei Mate 30 ke atas tidak boleh mempunyai GMS. Nasib baiklah Android itu sendiri mereka masih boleh gunakan. Kalaulah kena beralih ke sistem operasi baru, selamat tinggal Huawei.
Terkini Huawei telah melancarkan sebuah peranti mercu kelas baru, iaitu Huawei Nova 7. Kenapa kami katakan ia adalah peranti mercu? Ini kerana cip pemproses yang digunakan pada peranti ini adalah setaraf dengan Snapdragon 855, mirip dengan Kirin 990 dan mempunyai cip GPU berkuasa. Selamat datang ke dunia Kirin 985, iaitu cip berkuasa baru untuk peranti kelas baru. Saya akan jelaskan lagi dalam perenggan lanjut. Cuma apa yang saya boleh katakan adalah, Nova 7 adalah sebuah peranti yang hebat – tetapi disebabkan tiada GMS agak sukar untuk saya cadangkan peranti ini kepada anda semua. Apa-apa pun baca dahulu artikel ini, mana tahu anda akan terjerumus ke dalam ekosistem HMS?
Spesifikasi & Rekaan
Huawei Nova 7 5G | |
---|---|
Skrin | 6.53″ OLED, FHD+, HDR, 60Hz |
Pemproses | Kirin 985 7nm |
Cip | 1 x 2.58 GHz Cortex-A76 3 x 2.40 GHz Cortex-A76 4 x 1.84 GHz Cortex-A55 |
Cip Grafik | Mali-G77 |
RAM | 8 Gigabyte |
Muatan Dalaman | 256 GB UFS 3.0 |
Kamera Utama | 64 MP, f/1.8, 26mm (utama) 8 MP, f/2.4, 80mm (telefoto) 8 MP, f/2.4, 17mm (sudut lebar) 2 MP, f/2.4, (makro) |
Kamera Depan | 32 MP, f/2.2 |
Bateri | 4000mAh (Berwayar pantas 40W) |
SIM/Telefoni | Dwi SIM Nano |
NFC | Ya |
Infra Merah | Ya |
Kalis Air | Tiada |
Sistem Imbasan | Cap jari terbina dalam skrin |
Harga Jualan | RM1,999 |
Skrin peranti ini adalah 6.53-inci dari panel OLED dan mempunyai resolusi FHD+. Walaupun di laman web rasmi tidak menyatakan skrin ini mempunyai sokongan HDR, video pada Prime Video, YouTube (muat turun APK) tidak ada masalah memainkan kandungan HDR dengan baik dan lancar sekali. Seterusnya, Nova 7 tidak mengikut jejak langkah pesaing yang menggunakan skrin dengan kadar segar semula tinggi. Ini kerana mereka sedar yang perkara itu hanya memakan bateri dan menjadikan kos peranti lebih tinggi.
Percaya atau tidak, saya yang kerap bertukar-tukar peranti ini – tidak ada masalah langsung dalam pengalaman penggunaan tidak kira 120Hz atau 60Hz. Penggunaan harian adalah sudah mencukupi 60Hz. Cuma kalau ada pilihan yang tinggi, saya akan menghargai fungsi yang diberikan. Kualiti warna skrin ini juga cukup terang, butiran terpelihara dan mempunyai kecerahan yang baik sekali. Walau bagaimanapun, panel yang digunakan berani saya katakan adalah panel yang murah – ini kerana terdapat colour bending pada latar belakang video untuk sesetengah adegan atau babak. Usah risau, itu tidak menjejaskan pun cara penggunaan peranti – cuma jika masalah itu dicari akan adalah masalah tiba.
Skrin Nova 7 ini menggunakan rekaan hampir nirbingkai dengan bezel di keliling yang nampak sekata. Tidak lupa juga, ia adalah jenis skrin berlubang untuk memuatkan kamera swafoto. Hanya dua hari penggunaan sahaja saya sudah lupakan kewujudan lubang tersebut.
Huawei Nova 7 5G ini dijana dengan cip Kirin 985 binaan 7nm. Cip ini mempunyai kuasa 1 x 2.58 GHz Cortex-A76 + 3 x 2.40 GHz Cortex-A76 + 4 x 1.84 GHz Cortex-A55 dan cip grafik Mali-G77. Melengkapkan peranti ini adalah memori 8GB RAM dan storan dalaman UFS 3.0 256GB. Ini adalah peranti pertama di dunia yang menggunakan cip ini dan ia adalah cip berkuasa yang unik sekali. Ia mewujudkan satu kategori baru dalam kelas peranti mercu. Kirin 985 adalah seakan Snapdragon 855 dan sangat mirip dengan Kirin 990 tetapi sedikit kurang berkuasa. Oleh yang demikian, cip ini adalah cip kelas mercu.
Dengan penggunaan cip ini, ia menjanjikan prestasi dan pengalaman penggunaan yang memuaskan. Tatalan pada skrin sentiasaa lancar dan pantas dan tiada langsung masalah lengah masa. Mengejutkan lagi, ia turut menyokong multi-tugasan dengan tetingkap terapung bagi memudahkan lagi kerja-kerja. Membuka, menutup dan memasang aplikasi adalah pantas sekali. Bertukar-tukar antara aplikasi juga tidak menjadi sebarang masalah dan lancar sahaja.
Untuk kamera, ia menggunakan gabungan empat lensa iaitu 64MP + 8MP sudut ultra lebar + 8MP telefoto + 2MP makro lensa swafoto 32MP. Menarik dengan kamera peranti ini adalah ia mampu merakam video 4K 30FPS tidak kira kamera belakang atau hadapan. Seperti biasa, kameranya turut akan dikuasakan dengan kecerdasan buatan Huawei untuk melalui pasca-proses agar hasil imej adalah lebih cantik.
Bateri peranti pula adalah 4000mAh sahaja, dicas melalui USB-C, pengecas 40W disediakan dan turut boleh dijadikan sebagai powerbank untuk peranti lain dengan kuasa 5W. Melengkapi spesifikasi peranti ini adalah dengan kehadiran sensor inframerah, NFC dan juga Bluetooth 5.1.
Unit ulasan yang digunakan berwarna Space Silver, iaitu gabungan warna krom dengan sedikit kemasan pelangi jika terkena cahaya. Ia kelihatan mewah dan premium, tetapi mempunyai masalah menangkap kotoran cap jari dan minyak. Panel belakang menggunakan rekaan moden dengan modul kamera segi empat, butang semua diletakkan di sisi kiri , kosong di sebelah kanan, atas hanya terdapat sensor infra merah dan mikrofon dan akhir sekali di bawah adalah kekisi pembesar suara dengan port USB-C.
Antaramuka & Pengalaman Penggunaan
Nova 7 menggunakan sistem operasi Android 10 dengan antaramuka EMUI 10.1. Ia adalah peranti baru, jadi ia tidak mempunyai sebarang GMS dan bergantung kepada HMS sepenuhnya. Ini tidak bermakna ia langsung tidak boleh digunakan, ada kebaikannya dan banyak kekurangannya. EMUI 10.1 masih dikira sebagai sistem operasi yang baik dan peranti ini adalah peranti yang baik. Mari kita lihat apa yang ada dalam EMUI 10.1 pada peranti ini.
EMUI 10.1 padat dengan ciri dan fungsi, seperti mod gelap yang diaplikasikan kepada keseluruhan sistem, Digital Balance sebagai pengganti kepada Digital Wellbeing dan banyak lagi. Menariknya sebagai alternatif kepada Spotify dan Netflix, aplikasi sistem video dan muzik mereka kita berfungsi sebagai perkhidmatan penstriman dengan kandungan terhad dari beberapa studio. Pada EMUI 10.1 Nova 7, Celia masih tidak hadir lagi – tetapi aplikasi carian Petal sudah sedia terbina. Petal adalah aplikasi carian yang boleh mencari aplikasi yang tiada dalam AppGallery. Ia akan menggunakan pelbagai sumber dan pengguna perlu berhati-hati memilihnya.
Bermain permua pula apabila ada belian dalam aplikasi ingin dilakukan, sistem pembayaran adalah melalui FPX, kad kredit/debit, nombor telefon atau juga Huawei Points. Agak janggal mencuba kerana selama ini peranti lain menggunakan Play Store. Isu keselamatan adalah salah satu perkara yang perlu difikirkan sebelum memberi data peribadi kepada Huawei.
Menggunakan peranti yang hebat ini adalah satu pengalaman baru yang memuaskan. Mencuba sepenuhnya ekosistem HMS tanpa sideload GMS adalah pengalaman yang menarik. Ya, amat janggal. Selepas menggunakan dalam seminggu, tiada masalah pun sebenarnya. Saya boleh hidup, cuma memerlukan peranti kedua yang lain bagi kerja-kerja emel dan sandaran awanan.
Kamera & Kualiti Gambar
64MP (f/1.8) + 8MP (f/2.4) telefoto + 8MP (f/2.4) ultra sudut lebar + 2MP (f/2.4) makro dan lensa swafoto 32MP (f/2.2) adalah tetapan kamera yang digunakan pada peranti ini. Ia menyokong rakaman gambar HDR, penstabilan optikal dan juga elektrik dan rakaman video 4K 30FPS. Tetapan kuad-lensa seperti ini adalah selari dengan peranti pesaing lain, cuma adakah kualitinya cukup hebat untuk menjadikan peranti ini peranti pilihan ramai?
Kualiti gambar pada peranti ini mengejutkan memberikan hasil yang memuaskan. Kita mulakan dengan kamera swafoto. Dalam suasana yang mempunyai dedahan kepada cahaya matahari, hasil gambar dilihat sedikit pudar dan lembut. Tetapi butiran masih diperlihara. Berbeza pula dengan hasil gambar dalam suasana yang bergantung kepada lampu LED. Ia lebih cantik, lebih banyak butiran dan mempunyai warna yang padan dengan mata manusia lihat di dunia realiti. Kesan bokeh juga kemas dan boleh diterima.
Beralih kepada kamera utama, terdapat empat lensa yang perlu dilihat. Mari saya ulaskan satu demi satu kualiti setiap lensa. Lensa utama adalah 64MP dan mod ini adalah mod berasingan dan mod automatik akan memproses imej kepada saiz 16MP sahaja. Ujian yang saya lakukan memperlihatkan hasil imej yang baik. Butiran yang jitu, warna yang tajam dan cantik. Di bawah adalah sampel 16MP yang diproses secara automatik. Pada saya ia adalah hasil yang baik, anda nilai sendiri dengan lihat sampel di bawah.
Sampel seterusnya adalah kemampuan sudut ultra lebar, zum optikal dan zum digital. Turut membnerikan hasil yang mengejutkan, kerana kuasa pasca-proses pada peranti agak dahsyat. Zum digital, jelas sekali sistem cuba membuang hingar menjadikan gamabr terus lembut. Walaupun begitu, hasilnya masih mmeberi satu kepuasan kerana jarak zum yang ia mampu cukup jauh. Warna juga dipelihara dengan hebat sekali.
Kemampuan kamera makro peranti ini juga berani saya katakan adalah luar biasa. Warna dan butiran adalah cantik, jitu dan dipelihara dengan baik. Apa yang mengecewakan dengan peranti ini adalah kemampuan mod malam yang sangat lemah. Saya agak kecewa kerana, lain-lain sudah hebat tetapi mod malam ia terlampau lembut, banyak hingar dan butirannya hilang.
Akhir sekali adalah ujian video. Nampaknya sehingga model ini, walaupun ia mampu merakam pada resolusi yang tinggi. Latar belakang video masih tidak dapat memberikan butiran yang baik dan terus terdedah kepada cahaya dengan dahsyat sekali. Tetapi dari segi penstabilan dan warna ia sebenarnya memuaskan. Audio yang berjaya dirakam juga baik sekali tidak kira kamera swafoto ataupun kamera utama.
https://www.youtube.com/watch?v=MBQ_qtQzK4E&feature=youtu.be
https://www.youtube.com/watch?v=XBOC_Zt4hFw&feature=youtu.be
Audio
Pembesar suara pada peranti ini adalah jenis mono. Kemudian peranti ini juga tiada port bicu audio, jadi audio luaran perlu bergantung kepada aksesori audio nirwayar sahaja. Untuk pembesar suara peranti ini, walaupun mono – ia cukup enak dan lantang. Tidak terlampau bingit dan kuat dan adalah memadai. Tidak kira menggunakan Spotify atau menonton video pada Prime Video, pengalaman penggunaan adalah memuaskan sahaja.
Menggunakan aksesori audio nirwayar seperti TWS pula adalah baik sahaja, bergantung kepada jenama. Tetapi anda akan mengorbankan ketahanan bateri apabila menggunakan kaedah ini.
Penanda Aras
Skor tanda aras pada ujian awal adalah mengecewakan, ini kerana peranti baru sahaja ditetapkan dan banyak aplikasi sedang diproses serta akaun-akaun sosial media sedang diselarikan. Jadi peranti akan sedikit kurang berkuasa. Namun selepas semuanya selesai dan peranti reboot, skor ujian dilihat berada dalam lingkungan yang saya jangkakan. Ujian yang dilakukan adalah melalui aplikasi Geekbench 5 dan juga AnTuTu.
Geekbench 5 yang dilancarkan begitu sahaja memberi skor sebanyak 650 untuk satu teras dan 2425 untuk multi-teras. Manakala AnTuTu pula adalah sebanyak 390682. Apabila melancarkan aplikasi ini melalui mod permua, Geekbench 5 memperoleh skor sebanyak 690/2542 dan AnTuTu pula adalah sebanyak 414075.
Bateri
Bateri pada peranti ini adalah 4000mAh. Ia agak rendah jika dibandingkan dengan pesaing lain. Oleh yang demikian ketahanan bateri pada peranti untuk penggunaan satu hari adalah lemas sekali. Penggunaan ekstrem pada beberapa hari pertama hanya sekitar 2-3 jam SOT dengan penggunaan data sahaja. Apabila bercampur WiFi dan data, SOT boleh sahaja mencapai sekitar 4-5 jam tanpa sebarang masalah.
Saya menjangkakan peranti ini akan bertahan sekurang-kurangnya 6 jam SOT. Walaupun menggunakan peranti ini dalam keadaan yang ringan sekali, saya tidak berjaya memperoleh 6 jam SOT. Syukur, peranti ini mempunyai sokongan pengecasan pantas 40W – jadi ia membolehkan peranti dicas dengan pantas dan mengurangkan rasa risau bateri peranti cepat habis.
Pesaing
Peranti Pesaing | |
---|---|
Realme X3 SuperZoom | Huawei Nova 7 |
6.6″ LCD, FHD+, 120Hz (399 PPI) | 6.53″ OLED, FHD+, HDR, 60Hz (403 PPI) |
Snapdragon 855+ 7nm 1×2.96 GHz Kryo 485 3×2.42 GHz Kryo 485 4×1.78 GHz Kryo 485 |
Kirin 985 7nm 1×2.58 GHz Cortex-A76 3×2.40 GHz Cortex-A76 4×1.84 GHz Cortex-A55 |
Adreno 640 | Mali-G77 |
8/12 Gigabyte | 8 Gigabyte |
128/256 GB UFS 3.0 | 256 Gigabyte UFS 3.0 |
Kamera Utama 64+8+8+2 Megapixel (f/1.8+f/3.4+f/2.3+f/2.4) | Kamera Utama 64+8+8+2 Megapixel (f/1.8+f/2.4+f/2.4/f/2.4) |
Kamera Hadapan 32+8 Megapixel (f/2.5+f/2.2) | Kamera Hadapan 32-Megapixel f/2.2 |
Tiada Kemampuan Kalis Air | Tiada Kemampuan Kalis Air |
Tiada Bicu audio 3.5mm | Tiada bicu audio 3,5mm |
Tiada pemancar infra merah | Pemancar infra merah |
4200 mAh (Berwayar 30W) | 4000 mAh (Berwayar 40W) |
Bermula RM1999 |
RM1999 |
Kesimpulan
Mengakhiri ulasan Huawei Nova 7 adalah dengan memberitahu anda, adakah peranti berbaloi untuk dimiliki dan untuk siapakah peranti ini? Jika anda tanya saya, jujur saya katakan peranti yang tiada GMS memang tidak akan saya cadangkan kepada anda untuk membelinya. Leceh! Banyak pengehadan dan sukar untuk melakukan pelbagai tugas, lagi-lagi emel, YouTube dan Google Photos.
Peranti ini tidak dinafikan cukup hebat. Skrinnya cantik, memuaskan apabila menonton video, mendengar lagu juga baik sekali, rekaan premium dan kelihatan mewah. Tidak lupa juga dengan kemampuan kamera yang mencukupi untuk kegunaan bersahaja.
Mereka yang baru ingin berjinak dengan fotografi dan skrin OLED, peranti ini adalah peranti yang baik. Tiada masalah pun untuk menggunakannya. Ia juga sesuai untuk mereka yang ingin mencari peranti untuk kegunaan harian dan tidak akan bertukar peranti dalam jangka masa yang panjang. Ini bermakna, selesai sahaja anda membeli peranti ini dan slarikan apa yang patut seperti akaun-akaun media sosial dan WhatsApp – gunakan terus dan usah risau apa-apa. Bagi yang kerap bertukar peranti, agak leceh jika ingin membuat pemindahan fail.
Jadikan peranti sebagai hadiah untuk orang tua juga agak baik. Misalnya anda sedang menggunakan peranti Huawei, ia kini mempunyai MeeTime jadi mudah untuk membuat panggilan video percuma dan berkualiti tinggi. Akhir sekali, bagi mereka yang ingin cuba ekosistem HMS – ini adalah peranti terbaik untuk dicuba. Ia berkuasa, pantas dan lancar.
Harga jualan adalah RM1,999, yang mana adalah tidak begitu mahal dan sesuai dalam kategorinya. Nova 7 ada kekuatan sendiri dan kelemahan besar hanyalah ketiadaan GMS sahaja.
KELEBIHAN | KEKURANGAN |
|
|