Marshall yang dahulunya mengeluarkan amplifier untuk gitar elektrik kini melalui zaman Renaissance dengan mengeluarkan pembesar suara untuk penggemar audio. Bermula dengan Stockweel untuk telefon pintar lima tahun lalu diikuti oleh Stanmore II dan kemudiannya Uxbridge pada Mac lalu. Kesemua pembesar-pembesar suara ini bersaiz agak besar. Hari ini Emberton pula dilancarkan dan ia bersaiz kompak bagi memudahkan ia dibawa kemam-mana.
Emberton dilengkapi dua pemandu audio 10W yang membolehkan audio dilontar 360 darjah menerusi sistem True Stereophonic. Ia hanya menyokong tambatan audio secara bluetooth tanpa sambungan fizikal. Saiznya yang kecil iaitu 68 x 160 x 76 mm dan berat 700 gram membolehkan ia disimpan di dalam beg tanpa ruang yang besar.
Dengan sekali caj ia boleh beroperasi selama 20 jam dengan pengecasan semula dalam masa tiga jam. Pengecasan dilakukan menerusi port USB-C. Akhir sekali Emberton melepasi piawaian kalis air IP67 dengan tubuh pula diperbuat daripada bahan silikon yang tahan lasak. Di Amerika Syarikat Marshall Emberton dijual pada harga $150 (~RM639) sebuah.