Siri komputer riba ASUS ZenBook merupakan salah satu komputer riba dibawah panji Project Athena dimana pihak Intel ingin mengembalikan zaman kegemilangan Ultrabook.
Siri ASUS ZenBook 13 (UX325) dan ZenBook 14 (UX425) terbaru ini dilengkapi dengan CPU Intel generasi kesepuluh yang dibina menggunakan proses 10nm, ataupun Intel Ice Lake.
Kedua-dua komputer riba ini hadir dengan paparan IPS bersaiz 13.3 dan 14.0 inci dengan resolusi Full HD dan pilihan kecerahan skrin setinggi 450 nit ataupun 300 nit.
Sama seperti banyak komputer riba ASUS lain, ia juga mempunyai rekaan berbingkai nipis melalui ciri ASUS NanoEdge Display mereka yang menjanjikan bingkai nipis pada keempat-empat sisi paparan.
Mereka juga dikuasakan oleh pilihan CPU Intel Core i3-1051G1, Intel Core i5-1035G1 dan Intel Core i7-1065G7 yang hadir dengan cip pemprosesan grafik Intel Iris Plus.
Dari segi pilihan memori, ia dilengkapi memori DDR4 sehingga 32GB dan mempunyai jumlah storan SSD PCIe sebesar 2TB dan storan tambahan SSD PCIe sekunder ataupun Intel Optane jika diingini.
Dari segi I/O, ia dilengkapi dengan dua palam Thunderbolt 3 dalam rekaan USB Type-C, satu palam USB 3.2 Type-A dan palam HDMI bersaiz penuh.
Dalam pada itu, ia mempunyai ciri-ciri lain seperti ASUS NumberPad dan juga sokongan WiFi 6 yang menjanjikan sambungan internet nirwayar yang pantas dan tetap.
ASUS Zenbook 13 dan 14 juga hadir dengan ketebalan 13.9mm dengan berat 1.07kg dan 1.17kg sahaja, membuatkannya diantara komputer riba produktiviti berkuasa tinggi yang paling ringan di pasaran.
Menurut ASUS Malaysia, kedua-dua komputer riba ASUS VivoBook S13 dan S14 baru ini akan diperkenalkan untuk pasaran tempatan pada penghujung bulan ini.