Cari @ Amanz

NVIDIA dijangka memperkenalkan kad grafik kelas pengguna berdasarkan cip pemprosesan grafik Ampere yang baru diperkenalkan melalui kad grafik kelas perindustrian NVIDIA A100.

Terkini, rekaan untuk sebuah kad grafik generasi akan datang daripada ASUS dilaporkan telah tertiris ke arena web melalui laman web VideoCardz.

Salinan skrin yang diperlihat melalui mereka telah diterjemah sebagai “Generasi ROG STRIX akan datang” dan memperlihatkan rekaan kad grafik yang berbeza, khususnya apabila dibandingkan dengan model RTX 2080 sebelum ini.

Rekaan kad grafik ini, yang dikatakan ialah kad grafik ASUS ROG STRIX RTX 3080 Ti memperlihatkan penggunaan tiga buah kipas yang hampir sama dengan apa yang digunakan sebelum ini, tetapi rangka dan bongkah penyejuk yang cukup berbeza sekali.

Rangka kad grafik terbaru ini nampaknya menggabungkan penggunaan logam aluminum dengan corak warna perak dan hitam yang nampak jauh lebih agresif berbanding dengan kad grafik sebelum ini juga.

Menurut VideoCardz lagi, rekaan ini didapati melalui dokumen rekaan dalaman ASUS, dimana rekaannya masih belum ditetapkan lagi, dan masih lagi dalam fasa pembangunan.

Buat masa ini NVIDIA masih belum mengesahkan lagi bilakah mereka akan mengumumkan dan melancarkan kad grafik terbaru mereka tahun ini.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd